KKKB unggul sebagai hab latihan automotif berteknologi tinggi bertaraf antarabangsa

Oleh Zihan Zari

KEPALA BATAS – Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB) terus memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta memperkukuh peranannya sebagai hab latihan automotif berteknologi tinggi menerusi perasmian Reskilling and Upskilling Centre (RUC) bagi membangunkan tenaga mahir dalam bidang kenderaan elektrik (EV), hibrid dan teknologi automotif termaju.

Transformasi automotif menuntut penguasaan teknologi bateri, sistem elektronik, diagnosis kerosakan dan keselamatan voltan tinggi, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ahmad Rizal Adnan.

Ahmad Rizal berkata, latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) perlu menjadi pelaburan jangka panjang, manakala kejayaan RUC dinilai melalui kompetensi, pensijilan, aplikasi kemahiran dan kemajuan kerjaya, bukan jumlah peserta semata-mata.

“Keselamatan voltan tinggi tidak boleh dikompromi. Inisiatif RUC selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 (Lonjakan 3 dan 8), RMK-13, NIMP 2030 serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), ”tegasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Reskilling and Upskilling Centre (RUC), Centre of Advanced Automotive Training (CoAt) KKKB, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah KKKB, Shuhaimi Samanol; Pengurusan KPT dan JPPKK; Pengarah Institusi POLYCC serta rakan industri.

RUC TERBAIK DUA TAHUN BERTURUT-TURUT

Terdahulu, Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, pengiktirafan RUC KKKB sebagai RUC Terbaik pada 2025 dan 2026 membuktikan keupayaan kolej komuniti menawarkan latihan profesional berimpak tinggi.

Menurut beliau, KKKB ialah antara tiga RUC di kolej komuniti daripada 21 RUC rangkaian POLYCC yang telah meraih Anugerah RUC Terbaik 2026 sempena POLYCC Industry Education Centre (IEC) 2026 pada 17 September lalu di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra.

Katanya, kejayaan ini dipacu oleh CoAT yang bermula sebagai Pusat Teknologi Kenderaan Hibrid dan Elektrik pada 16 November 2013 dan ditauliahkan sebagai Approved Centre oleh Institute of the Motor Industry (IMI), United Kingdom pada 20 Mei 2014.

“CoAT mencatat sejarah sebagai pusat latihan pertama di luar United Kingdom yang ditauliahkan menawarkan pensijilan IMI International Level 4 bagi diagnosis, pengujian dan pembaikan kenderaan EV serta hibrid.

“Sehingga kini, CoAT merekodkan lebih 8,674 penyertaan latihan melibatkan Perodua, Rapid Bus, Prasarana, SIRIM, JKR, JPJ dan PDRM serta pengamal teknikal dari Singapura, United Kingdom, Maldives, Romania, Bangladesh, Fiji dan Mauritius,”katanya lagi.

Beliau berharap kejayaan ini menjadi model amalan terbaik POLYCC dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Profesional (PTE).

KKKB SASAR PUSAT RUJUKAN EV DAN HIBRID WILAYAH UTARA

Dalam pada itu, Pengarah KKKB, Shuhaimi
Samanol, berkata RUC memperluas peranan kolej sebagai pusat pembangunan kompetensi profesional berasaskan keperluan industri.

Menurut beliau, KKBB telah ditubuhkan pada 2001, menawarkan empat sijil sepenuh masa, iaitu Animasi 2D, Teknologi Seni Bina, Teknologi Pembuatan dan Teknologi Automotif, dengan 438 pelajar dan 78 warga kerja, di samping Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan pensijilan antarabangsa.

“KKKB menyasarkan CoAT sebagai pusat rujukan EV dan hibrid Wilayah Utara melalui peluasan pensijilan IMI kepada kenderaan elektrik berat (Heavy EV) dan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), serta laluan pensijilan kebangsaan melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Usaha ini disokong penambahbaikan fasiliti, kepakaran pengajar dan jaringan industri antarabangsa, ”katanya.

KERJASAMA INDUSTRI PERKUKUH TVET

Majlis tersebut turut menyaksikan pertukaran Surat Hasrat Kerjasama (LOI) dengan empat pihak industri, penyerahan sumbangan rakan strategik dan penghargaan kepada industri serta agensi.

Kerjasama ini memperkukuh pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran, modul latihan dan kompetensi tenaga kerja.

Dengan dua pengiktirafan RUC Terbaik berturut-turut, pensijilan antarabangsa dan jaringan industri yang berkembang, KKKB terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat rujukan latihan EV dan hibrid di peringkat nasional serta antarabangsa. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat