KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mencadangkan Kelantan mengambil peluang membina ruang perniagaan di sepanjang Sungai Golok bagi memanfaatkan Zon Ekonomi Khas (SEZ).
Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menerima kunjungan hormat Menteri Luar Negeri Thailand, Maris Sangiampongsa, semalam, telah membincangkan hasil Lawatan Kerja beliau dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisn ke Sungai Golok, Thailand, dan Rantau Panjang, Kelantan minggu lalu.
“Selain sektor getah dan makanan, Maris turut dicadangkan penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) termasuk penglibatan sektor swasta dan syarikat pemula (start-up).
“Sayugia, penglibatan mereka boleh menarik lebih banyak pelaburan ke dalam SEZ, malah saya juga mencadangkan agar Kelantan mengambil peluang membina ruang perniagaan di sepanjang sungai Sungai Golok,” kata Anwar dalam kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu Perdana Menteri dan Maris turut berbincang mengenai pengorekan muara Sungai Golok bagi menangani isu banjir dimana usaha ini bertujuan membantu komuniti di sepanjang sempadan yang menghadapi masalah banjir hampir setiap tahun.
“Saya juga menyatakan komitmen Malaysia terhadap Proses Dialog Keamanan Selatan Thailand.
“Kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk Malaysia menjadi tuan rumah Perundingan Tahunan Ke-7 pada 19 September 2024.
“Moga hubungan kedua negara berjiran ini terus utuh dan kekal harmoni,” kata Anwar.