Nuha sumbang lagi?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Nyalaan sumbu kerjaya seninya bernafas menerusi kontroversi apabila vokalnya dikecam ketika menyertai program realiti, Vokal Mania, dua tahun lalu.

Pada ketika itu, ramai tidak berpuas hati dengan corak penyampaian penyanyi remaja, Nuha Bahrin dikatakan ‘bersepah’ hingga menghancurkan lagu Kekasih Awal Dan Akhir yang menjadi pilihannya.

Nama Nuha juga seakan hilang dari radar seni walaupun pernah menghasilkan single Xsempurna.

Namun, siapa sangka nama penyanyi berusia 22 tahun ini kembali menjadi sebutan. Semuanya gara-gara penangan single Casablanca, paduan suara dengan penyanyi Naufal Azrin menjadi tular hingga peringkat global.

Menerusi aplikasi TikTok dan Instagram, lagu terbitan Universal Music Malaysia dan Bee GoodMedia itu mencetuskan fenomena tersendiri apabila dijadikan muzik latar bagi kebanyakan video dihasilkan pengguna laman sosial.

Lagu dan video muzik Casablanca mencipta fenomena apabila menjadi karya Malaysia pertama mengungguli carta teratas Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia.

“Alhamdulillah, saya tak sangka lagu Casablanca mampu meraih sambutan luar biasa. Ia adalah rezeki kurniaan Allah.

“Jujurnya, saya sangat bertuah apabila lagu ciptaan dan lirik oleh Daqmie serta Abdul Karim Al Ali mampu pergi sejauh ini, peluang keemasan yang jarang diperoleh oleh seseorang penyanyi,” katanya kepada HIP.

Namun, belum sempat merasai nikmat manis dalam tempoh lama, penyanyi remaja ini sekali lagi terpalit kontroversi apabila vokalnya sekali lagi dipertikaikan apabila didakwa gagal membuat persembahan secara ‘live’ dengan baik dalam sebuah program hiburan, baru-baru ini.

 

Tidak cepat melatah komen negatif dilemparkan, kegagalan Nuha membawa lagu Casablanca dengan baik disebabkan kurang latihan. - Foto IG Nuha Bahrin
Tidak cepat melatah komen negatif dilemparkan, kegagalan Nuha membawa lagu Casablanca dengan baik disebabkan kurang latihan. – Foto IG Nuha Bahrin

 

Tidak cepat melatah komen negatif dilemparkan, pemilik nama lengkap Nuha Sakina Saiful Bahrin mengakui, ia berlaku disebabkan kurang latihan.

“Ini adalah persembahan pertama saya dan Naufal di kaca televisyen secara mengejut. Saya akui banyak perlu dipelajari apabila melihat semula persembahan.

“Saya minta maaf kepada peminat yang kecewa dengan persembahan kami. Berilah kami masa secukupnya untuk berlatih bersama.

“Secara kebetulan, saya dan Naufal menerima banyak undangan persembahan. Jadi, saya memang ambil serius teguran yang diberikan,” ujar anak jati Selangor ini.

Bagi memastikan pisang tidak berbuah dua kali, anak ketiga dalam keluarga itu turut mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas vokal.

“Saya mengambil kelas vokal untuk memantapkan nyanyian. Sebagai penyanyi baharu, saya perlu banyak belajar mengenai teknik nyanyian,” katanya.

Nuha yang aktif menyanyikan lagu saduran dalam laman IG turut meluahkan rasa syukur kerana orang tua menjadi sistem sokongan kuat ketika berdepan kritikan.

“Apabila membaca komen negatif netizen, saya akan meluahkan perasaan sedih kepada ibu.

“Ibu sangat memahami dan banyak menasihatkan saya agar bersabar dan jadikan kritikan untuk memperbaiki kelemahan, bukannya sekadar melihatnya dari sudut negatif,” jelas Nuha.

 

Nuha dan Naufal hanya jalin hubungan ‘platonik’ dengan rakan duet, selesa bekerjasama tanpa membabitkan perasaan. - Foto IG Nuha Bahrin
Nuha dan Naufal hanya jalin hubungan ‘platonik’ dengan rakan duet, selesa bekerjasama tanpa membabitkan perasaan. – Foto IG Nuha Bahrin

 

Sama seperti kelompok artis yang tidak dapat lari daripada gosip cinta dengan Naufal, soalan sama turut diajukan kepada penyanyi berhijab ini.

Pantas menafikan wujudnya perasaan cinta meskipun menyenangi karakter Naufal, namun, hubungan tidak lebih daripada sekadar rakan duet.

“Jika nak kata kami bercinta terserahlah kepada fantasi masing-masing. Apa yang boleh dikatakan, saya dan Naufal hanya jalin hubungan ‘platonik’.

“Namun, saya akui, Naufal seorang lelaki yang baik, bijak dan sangat menyokong. Saya selesa bekerjasama dengannya,” ujar Nuha.

Muzik video rasmi Casablanca dimuat naik di saluran YouTube Masyhur mencecah hampir 12 juta tontonan dan dilayari mencecah lebih 2.5 juta di Spotify.

Begitu aplikasi TikTok, lagu Casablanca mencecah tontonan #casablancachallengemencecah 14.1 juta tontonan.

Tahun lalu, usaha Nuha menyampaikan lagu Hurt, dendangan asal Christina Aquilera mencuri perhatian penyanyi antarabangsa itu. Malah, suara Nuha mendapat pujian hingga video nyanyiannya itu dimuat naik Aquilera dalam IG.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat