13,655 individu terlibat penyalahgunaan, penagihan dadah dikesan di Pulau Pinang

Oleh Zihan Zari

GEORGE TOWN – Berdasarkan statistik penagih dan penyalah guna dadah atau bahan terlarang bagi tahun 2025 menyaksikan seramai 13,655 individu dikesan di Pulau Pinang.

Daripada jumlah itu, sebanyak 95.2 peratus (%) adalah dalam kalangan lelaki manakala 4.8 % pula adalah daripada golongan wanita, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Kon Yeow berkata daripada data itu juga, dadah jenis Amphetamine Type Stimulans (ATS) mencatatkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 8,070 orang (59.1 %) yang majoritinya terdiri daripada mereka yang berumur antara 15 hingga 39 tahun iaitu golongan dalam kumpulan belia dengan angka seramai 5,539 orang (76.4%).

Terdahulu, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Pulau Pinang Bilangan 1 Tahun 2026 dekat sini, pada Isnin.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh; Pengarah Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa AADK, Rashinah Abdul Hamid dan Pengarah AADK Pulau Pinang, Roswati Apin.

Mesyuarat MTMD yang dipengerusikan oleh Kon Yeow merupakan peneraju utama usaha membanteras dadah yang berperanan sebagai platform utama bagi menyelaras dasar, strategi dan pelaksanaan program antara agensi di peringkat negeri dan daerah.

Menurut beliau, penekanan diberikan terhadap keperluan kerjasama strategik yang lebih padu dalam menghadapi cabaran semasa, termasuk peningkatan rampasan dadah khususnya Methamphetamine (Syabu) serta taktik sindiket yang semakin kompleks melalui rangkaian digital dan rentas sempadan.

“Sehubungan itu, semua pihak diseru untuk memperkukuh sinergi melalui pendekatan menyeluruh merangkumi aspek pencegahan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan penglibatan komuniti.

“Di peringkat negeri, pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) di kesemua 29 jabatan kerajaan menunjukkan komitmen tinggi dalam membudayakan persekitaran kerja bebas dadah selaras dengan aspirasi melahirkan penjawat awam yang berintegriti, sihat dan produktif. Inisiatif ini turut diperluaskan kepada agensi berkaitan kerajaan dan sektor swasta, ”katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, pemerkasaan Program SKUAD Antidadah Pulau Pinang terus diperkukuh sebagai platform kesukarelawanan belia, termasuk melalui penggunaan platform digital e-Skuad bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan dan kesedaran dalam komuniti.

“Kehadiran pelbagai agensi dan pihak berkepentingan mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh usaha bersepadu menangani bagi isu penyalahgunaan dadah di negeri ini.

“Kerjasama strategik ini menjadi tunjang utama dalam memperkukuh usaha membanteras ancaman dadah secara holistik demi merealisasikan matlamat Dadah Terkawal 2030, ”ujarnya.

Tambahnya, mesyuarat kali ini turut membentangkan Kertas Pertimbangan iaitu Fokus 5 Tahun: Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) oleh AADK serta laporan impak fokus 5 tahun : Gerak Skuad Antidadah ke arah pemerkasaan kesukarelawanan belia Pulau Pinang oleh AADK.

Selain itu, Kertas Makluman iaitu, laporan penyalahgunaan dadah dan bahan oleh AADK serta senario tangkapan dan rampasan dadah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Secara keseluruhannya, mesyuarat ini mempertegas komitmen kerajaan negeri dan semua agensi terlibat untuk terus bersinergi melalui idea serta tindakan konkrit,”tambahnya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat