KUALA LUMPUR, — Usaha Sunway Bhd untuk mengambil alih IJM Corp Bhd gagal selepas tawaran pengambilalihan bersyarat itu tidak memenuhi syarat utama untuk memperoleh lebih 50 peratus pegangan dalam syarikat berkenaan.
Menurut laporan The Edge CEO Morning Brief bertarikh 7 April, sehingga tarikh tutup tawaran pada 6 April, Sunway hanya menerima penerimaan saham sebanyak 33.43 peratus, jauh di bawah syarat minimum yang ditetapkan.
Maybank Investment Bank dalam satu kenyataan memaklumkan tawaran tersebut telah luput dan semua saham IJM yang telah diterima di bawah tawaran itu akan dipulangkan kepada pemegang saham yang terlibat.
“Sehubungan itu, tawaran ini telah luput dan semua penerimaan akan dikembalikan kepada pemegang saham yang menerima tawaran tersebut,” menurut kenyataan itu.
Cadangan pengambilalihan bernilai kira-kira RM11 bilion yang diumumkan pada pertengahan Januari lalu mencadangkan pertimbangan sebanyak 10 peratus tunai, bersamaan 31.5 sen sesaham IJM, serta 90 peratus dalam bentuk saham baharu Sunway.
Di bawah struktur itu, kira-kira 0.501 saham Sunway bernilai sekitar RM5.65 akan ditawarkan bagi setiap satu saham IJM.
Tawaran tersebut dibuat pada premium sekitar 28 peratus berbanding harga pasaran IJM ketika itu, yang akan melibatkan penerbitan sekitar 1.76 bilion saham baharu Sunway serta perbelanjaan tunai kira-kira RM1.1 bilion.
Sunway sebelum ini turut menegaskan bahawa tawaran berkenaan adalah “tawaran terbaik dan muktamad”, sekali gus memberi isyarat tiada semakan semula terhadap terma yang ditawarkan.
Susulan kegagalan tawaran itu, sentimen pasaran terhadap kedua-dua saham menunjukkan reaksi berbeza.
Saham IJM ditutup naik lima sen kepada RM2.36 pada Isnin, memberikan penilaian pasaran sekitar RM8.61 bilion, manakala saham Sunway susut empat sen atau 0.8 peratus kepada RM4.99, dengan nilai pasaran RM33.96 bilion.
Dalam reaksi rasmi, Sunway menyatakan pihaknya menghormati keputusan pemegang saham IJM dan hasil proses berkenaan.
“Kami menghormati keputusan pemegang saham IJM dan mengakui bahawa transaksi sebesar ini secara semula jadi mengundang pandangan yang berbeza serta perbahasan awam,” menurut syarikat itu.
Sunway turut menegaskan cadangan itu digerakkan berdasarkan prinsip jelas bahawa penggabungan tersebut mampu mewujudkan nilai jangka panjang yang strategik dan mampan kepada semua pihak berkepentingan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM, Datuk Lee Chun Fai berkata syarikat akan meneruskan strategi sedia ada untuk membuka nilai portfolio kumpulan merentasi empat teras utama iaitu pembinaan, pembangunan hartanah, industri dan infrastruktur.
Beliau berkata keutamaan syarikat kini adalah kepada pelaksanaan strategi dan membuka nilai portfolio yang telah dibina selama ini.
IJM juga memaklumkan kumpulan itu kekal berada pada kedudukan kukuh, disokong buku tempahan bernilai RM17.3 bilion dan rekod prestasi yang mantap dalam pembangunan infrastruktur nasional serta peluasan portfolio antarabangsa.
Menurut laporan itu lagi, pihak pengurusan IJM menyasarkan beberapa langkah strategik dalam tempoh tiga tahun akan datang termasuk rasionalisasi portfolio di India, potensi penyenaraian divisyen pembinaan, serta penjualan atau penyenaraian aset lebuh raya bertol. – SuaraTV



