MKT UMNO Mohon Ihsan Agong Timbang Pengampunan Penuh Kepada Najib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat hari ini, memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, sehubungan itu MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon mengadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta memorandum yang ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda serta Puteri UMNO.

“Mesyuarat bulanan MKT hari ini, membincangkan beberapa perkara, antaranya keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan kebenaran Najib menyemak sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atasanya selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

“MKT mengambil maklum rasa dukacita dan keresahan ahli UMNO di peringkat akar umbi terhadap keputusan yang dilihat tidak adil, seiring penghakiman menentang yang dizahirkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, yang turut menyatakan Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil serta wajar dibebas dan dilepaskan.

“MKT juga menerima memorandum daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda Puteri yang memohon supaya kepimpinan tertinggi UMNO membela bekas Presiden dan Perdana Menteri yang banyak jasanya kepada rakyat dan negara,” katanya.

Dalam penghakiman pada 31 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Abdul Rahman yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

Anggota panel lain ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Abdul Rahman berkata, panel Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan akhir Najib pada 23 Ogos tahun lalu, gagal memberikan keputusan yang saksama kerana beliau dinafikan hak untuk mendapat perbicaraan yang adil.

Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang, memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu.

Sebelum ini, Majlis Peguam Malaysia menegaskan penghakiman yang berbeza kes perbicaraan kes SRC International yang dihadapi Najib itu tidak lebih daripada perbezaan pendapat.

Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn, berkata pendapat yang berbeza tidak memberi alasan untuk perbicaraan semula dan perkara itu tidak mewujudkan hak untuk semakan ‘selanjutnya’ di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

“Sekali lagi, orang ramai mesti tahu bahawa dalam sistem perundangan di Malaysia, sebarang penghakiman yang berbeza di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan tidak lebih daripada perbezaan pendapat.

“Orang ramai mesti sedar bahawa keputusan majoriti yang akhirnya menentukan satu-satu keputusan iti berjaya dan menang,” katanya dalam kenyataan.

Karen menegaskan sebarang tafsiran lain akan menjadi songsang dan menyalahgunakan proses mahkamah.

“Oleh itu, percubaan berterusan mengeksploitasi penghakiman minoriti untuk mengelirukanorang ramai mengenai prinsip-prinsip undang-undang yang kukuh dalam sistem keadilan kita hanya akan menyumbang kepada usaha untuk merosakkan keyakinan yang diletakkan oleh kita semua terhadap kehakiman sebagai institusi dihormati,” katanya.

Abdul Rahman yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam kebenaran semakan itu berkata, sehubungan itu perintah sewajarnya adalah Najib dilepas dan dibebaskan daripada semua kesalahan yang dikenakan ke atasnya.

Sementara itu, mesyuarat MKT hari ini menetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun ini akan diadakan pada 7 hingga 10 Jun depan. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat