RUU Anti Lompat Parti: Tunggu Isnin, Jadi Ke Tidak – Wan Junaidi

KUALA LUMPUR – Sama ada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2022 berkaitan Antilompat Parti
jadi atau tidak, semua perlu menunggu sidang khas Dewan Rakyat yang akan berlangsung 11 April ini,” kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Tunggu Isnin ini”, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Memetik laporan BH , Wan Junaidi berkata Kabinet akan menangguhkan pembentangan RUU berkenaan seperti dijadualkan pada sidang khas Dewan Rakyat 11 April ini.

Wan Junaidi bagaimanapun dilaporkan berkata, sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan pembentangan RUU Antilompat Parti itu nanti.

Dengan keputusan itu, ia bermakna pembentangan RUU akan ditangguhkan buat kali kedua.

Bacaan kali pertama RUU itu dijadual dibentangkan pada sidang pertama Dewan Rakyat tahun ini iaitu pada 24 Mac lalu.

Mengulas lanjut Wan Junaidi berkata penangguhan itu dibuat bagi memperkemaskan takrifan ‘lompat parti’ yang memerlukan kajian dan penelitian lanjut.

Ditanya parti di pihak kerajaan mahupun pembangkang yang meminta supaya RUU itu disemak semula, Wan Junaidi berkata beliau tidak boleh mengulasnya.

Sementara itu, menurut sumber rapat dengan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH), pihaknya belum menerima surat penangguhan sesi sidang khas daripada Parlimen.

“Setakat ini, Parlimen kata surat penangguhan (bentang RUU Antilompat Parti) tidak ada. Maknanya ia tetap akan diteruskan pada Isnin (11 April).

“Yang kami dapat tahu dalam Kabinet semalam, BERSATU memang menolak pembentangan RUU itu.

“Berhubung satu mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad ini…. ya, memang betul ada mesyuarat dan majlis berbuka puasa,” katanya.

Memetik laporan media semalam, difahamkan Perdana Menteri akan mempengerusikan satu mesyuarat mengenai RUU Antilompat Parti pada Ahad ini dengan semua Ahli Parlimen termasuk senator.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), mereka dimaklumkan RUU itu perlu melalui beberapa perkara sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Difahamkan ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum dibentangkan. Ia juga membabitkan Perlembagaan,” katanya.