Polis Yakin Peluang Tinggi Temu Tiga Penyelam Hilang Di Mersing

- Advertisement -

MERSING – Polis yakin tiga lagi penyelam warga asing yang masih hilang sejak semalam ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Tokong Sanggol, di sini mempunyai potensi besar untuk ditemukan dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, keyakinan itu berdasarkan pengalaman penyelam-penyelam terbabit, selain kelengkapan yang dipakai mereka sebelum dilaporkan hilang.

“Berdasarkan keterangan mangsa yang ditemukan setakat ini, ketiga-tiga mangsa lain juga berjaya timbul, ini bermakna mereka berada di permukaan laut.

“Dengan kelengkapan serta pengalaman yang ada saya percaya peluang untuk jumpa mereka dalam keadaan hidup adalah besar,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, hari ini.

Cyril Edward berkata, beliau bagaimanapun turut bimbang dengan faktor lain yang menggugat peluang mangsa ditemui dalam keadaan selamat iaitu dehidrasi, hipotermia dan cuaca buruk.

Katanya, siasatan awal ke atas mangsa yang selamat, Kristin Grodem, 35, mendapati ketika kejadian semua penyelam hanyut dibawa arus kuat.

“Makluman awal siasatan mendapati mereka menyelam di dasar laut selama 45 minit, kemudian naik ke permukaan air. Selepas itu membuat selaman kali kedua dan naik kembali selepas 20 minit. Namun disebabkan arus yang sangat kuat, mereka terpisah dan hanyut.

“Mereka ada berinteraksi selepas timbul kali kedua dan cuba memanggil tekong bot tetapi tidak dengar kerana telah dihanyutkan lebih kurang 500 meter dari lokasi bot berada,” katanya.

Tambah beliau, jurulatih itu turut memaklumkan, dia terpisah dan dihanyutkan berhampiran Pulau Yu dan cuba mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan tiga pelajarnya, namun disebabkan arus kuat, dia tidak dapat meneruskan renangan.

“Ketika berpatah balik ke lokasi mendapati semua pelajarnya tiada dan jurulatih itu terapung di atas permukaan laut dengan kelengkapan menyelam daripada pukul 12 tengah hari semalam sebelum diselamatkan bot yang melalui kawasan itu,” katanya.

Cyril Edward berkata, ketiga-tiga mangsa berkenaan juga mempunyai lesen selaman dan sedang mengikuti kursus ‘Advance Open Water’ ketika kejadian selain mempunyai pengalaman menyelam lebih 50 kali. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat