KUALA LUMPUR, — Bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak, menggesa kerajaan memberi peruntukan sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen kepada wilayah Borneo sebagai manifestasi sebenar semangat pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau, isu penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak berpunca daripada kedudukan kedua-dua wilayah itu sebagai rakan pengasas Malaysia, dan bukannya sekadar negeri biasa dalam Persekutuan.
Salleh berkata, kedudukan istimewa tersebut perlu diterjemahkan secara bermakna dalam struktur perwakilan Parlimen, khususnya apabila melibatkan keputusan-keputusan besar yang menentukan hala tuju negara.
Beliau menjelaskan, prinsip satu pertiga perwakilan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak bertujuan memastikan suara Borneo sentiasa terlibat dalam proses membuat keputusan nasional, sekali gus berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang dalam sistem Persekutuan.
Katanya, tuntutan itu bukan untuk mendapatkan kelebihan politik, sebaliknya bagi melindungi kepentingan, hak serta keunikan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia.
Sehubungan itu, Salleh menegaskan langkah penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak wajar diberi pertimbangan serius dan disempurnakan sebelum Pilihan Raya Umum akan datang.
Menurut beliau, isu tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai pertentangan antara wilayah, sebaliknya sebagai usaha menunaikan janji sejarah demi keadilan struktur dan pengukuhan perpaduan Persekutuan Malaysia.



