KUALA LUMPUR, — Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, mendedahkan bahawa sebuah pejabat dikenali sebagai “White House” digunakan sebagai pusat usaha terancang bagi menjatuhkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melalui Akuan Bersumpah (SD).
Mohamad Hanifah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu berkata, beliau dipanggil menghadiri satu pertemuan di pejabat berkenaan, yang menurutnya merupakan pejabat Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Menurut beliau, pertemuan itu pada awalnya disangka sekadar perbincangan biasa berkaitan urusan parti dan Perikatan Nasional, namun akhirnya menjurus kepada usaha mendapatkan sokongan terhadap SD yang bertujuan mendesak Presiden Bersatu meletakkan jawatan.
“Apabila saya bertanya secara terus, saya dimaklumkan bahawa sekiranya Presiden berundur dan Timbalan Presiden memangku jawatan Presiden Bersatu, sebuah kerajaan baharu akan dibentuk,” katanya dalam rakaman pendedahan video.
Mohamad Hanifah mendakwa beliau turut dimaklumkan bahawa wakil kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, telah bertemu dengan Hamzah, dengan jaminan UMNO akan keluar daripada kerajaan sedia ada dan bersama Perikatan Nasional bagi membentuk kerajaan baharu.
Mohamad Hanifah berkata, beliau bertanya sama ada Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi Perdana Menteri, namun perkara itu tidak dijawab, tetapi dimaklumkan ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Mohamad Hanifah menegaskan beliau menolak sebarang usaha yang bercanggah dengan Perlembagaan Bersatu dan prinsip kesetiaan parti, serta menyifatkan tindakan mendesak presiden berundur sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap mandat ahli dan keputusan Perhimpunan Agung Tahunan parti.
Katanya, SD berkenaan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi Bersatu sebagai langkah menyelamatkan parti, bukan untuk mencetuskan perpecahan dalaman.
Beliau turut mendedahkan bahawa majoriti ketua bahagian Bersatu di Negeri Sembilan menolak usaha SD tersebut dan kekal memberikan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu serta calon Perdana Menteri.
Mengulas perkembangan dalaman parti, Mohamad Hanifah berkata keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi sebelum ini yang menetapkan ‘stand down’ serta penubuhan Jawatankuasa Pengukuhan Parti telah dilanggar oleh beberapa pemimpin sendiri melalui kenyataan terbuka dan sidang media.
Sehubungan itu, beliau mendesak Lembaga Disiplin Bersatu bertindak tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pemimpin yang didakwa terlibat dalam usaha menjatuhkan kepimpinan sah parti.
Mohamad Hanifah memberi amaran bahawa jika usaha tersebut dibiarkan, ia bukan sahaja berpotensi merosakkan Bersatu dari dalam, malah melemahkan Perikatan Nasional menjelang pilihan raya akan datang.



