KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan membakul sampahkan surat hak pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong telah mendedahkan wajah derhakanya, bidas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Presiden Pas itu berkata, peristiwa kehakiman terkini yang memangsakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ini berdasarkan kandungan surat Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (house arrest) melalui titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.
“Hal ini telah mendedahkan wajah sebenar kerajaan PH yang didominasi oleh DAP yang menegakkan prinsip sekularisme yang dipahat dalam perlembagaan partinya dan kenyataan para pemimpinnya. Apa yang berlaku adalah meneruskan pendekatan pada zaman penjajah dahulu.
“Kesalahan yang terbuka kini ialah tindakan membakul sampahkan surat hak pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong sehingga mendedahkan wajah derhakanya. Inilah gambaran wajah yang sebenar kerajaan PH yang berkonsep sekularisme yang berprinsipkan kebendaan semata-mata, selaras dengan keahliannya yang terbuka kepada semua, campuran kalangan yang baik dan buruk, betul dan sesat, beragama dan tidak beragama, termasuk yang tidak berakhlak yang boleh dikhadamkan semuanya demi kepentingan kebendaan yang menjadi kiblatnya,” selar Ahli Parlimen Marang itu.
Kata Hadi lagi, kita menyaksikan Kerajaan PH mula berkuasa dengan slogan perintah raja-raja untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Selepas itu ditopengkan raja-raja menjadi alasan kepada setiap teguran dan kritikan pihak pembangkang yang dikatakan kononnya menentang raja-raja.
“Mereka juga mengambil tindakan secara terpilih terhadap musuh-musuh politik atau dendam kesumat. Adapun kesalahan sendiri yang lebih besar daripada 1MDB berlipat kali ganda oleh beberapa tokohnya pula ditutup dan disembunyikan di bawah karpet atau hanya bertindak separuh jalan sahaja.
“Pakatan yang menjunjung kasih atau menderhaka titah, tepuk dada tanya iman, kata Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN) itu.
Tambah Hadi lagi, raja-raja dipenjarakan dalam sistem penjajah, dalam keadaan tidak berdaulat sepenuhnya (tidak berkuasa sepenuhnya) dalam urusan pemerintahan negara, apabila agama Islam dilucutkan kuasanya.
Ujar beliau, raja hanya digunakan menjadi topeng apabila rakyat menentang penjajah. Maka, raja-raja difitnah oleh penjajah lalu menuduh rakyat pula derhaka terhadap raja-raja.
“Islam meletakkan konsep Raja Berperlembagaan yang sebenar dengan memberi kuasa mentadbir negara dengan petunjuk agama yang sebenarnya berdaulat.
Kita menyaksikan betapa hukum Islam dihilangkan sedikit demi sedikit, dan kuasa umat Islam pula dirobohkan.
“DAP yang menjadikan sekularisme sebagai dasarnya boleh menerima keahlian daripada semua jenis manusia, termasuk daripada kalangan paling ekstrem yang tidak beragama dan tidak bertuhan.
“Malah, haluan kiri yang paling ekstrem seperti komunis, sehinggalah yang bebas liberal tidak ada batas halal dan haram serta tidak membezakan antara hak asasi manusia dengan hak asasi binatang yang paling ganas.
“Bahkan, boleh bergabung dengan semua kumpulan daripada kalangan yang tidak beragama dan beragama tetapi hanyut. Termasuklah orang-orang Melayu dan para agamawan yang boleh dibeli, ia menceritakan ulama’ yang menjadi khadam kepada syaitan yang zalim dan sesat.
“Perkara ini mempraktikkan teori politik Barat yang sangat sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam “The end justifies the means. atau matlamat menghalalkan cara.”
T”ermasuklah janji bohong dan menipu dalam masa Pilihan Raya Umum (PRU) dan selepas menjadi kerajaan. Semuanya ditipu oleh mereka, tidak kira rakyat mahupun raja. Khususnya terhadap orang-orang Melayu yang mudah lupa. Inilah pelaksanaan teori sekularisme yang memisahkan urusan cara hidup daripada agama sebagaimana yang ditegaskan dalam perlembagaan partinya dan kenyataan terbuka para pemimpinnya,” kata Hadi.
Tegas beliau, kebencian mereka terhadap Islam dan para pemimpin termasuk raja-raja terkeluar dengan beberapa tindakan dan kenyataan yang mengoyak topeng kepura-puraannya.
“Kadang-kadang terkoyak topengnya, apabila mereka menunjukkan kemarahan melihat perpaduan dalam kalangan umat Islam dan penyertaan positif bukan Islam yang tidak ekstrem terhadap Islam.
“Sebaliknya, mereka bergembira jika ada yang murtad dan membelanya habis-habisan tanpa mengenangkan konsep tasamuh dan toleransi yang ditunjukkan oleh umat Islam terhadap mereka. Allah tidak melarang penganut Islam berlaku baik terhadap kalangan bukan Islam, bahkan diwajibkan mereka berlaku adil terhadap semua.
“Konsep kehakiman Islam menggalakkan agar diberikan pengampunan dan penyelesaian yang meringankan terhadap golongan yang bersalah, apatah lagi golongan yang tidak bersalah dan belum dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah. Maka, Islam menggalakkan sistem guaman yang dinamakan wakalah bagi membantu kalangan yang salah apalagi kalangan yang tidak bersalah. Mencari hukuman yang lebih ringan dan peluang keampunan, kerana konsep hukuman Islam bertujuan mendidik masyarakat,” kata Hadi.