Kewangan terbatas, kerajaan tunggu tawaran swasta teruskan HSR – Anwar

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kerajaan menanti tawaran positif daripada sektor swasta bagi meneruskan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur- Singapura.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malah menyatakan kerajaan bersedia untuk melaksanakan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, namun perlu dengan pembabitan penuh sektor swasta.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, kerajaan ketika ini masih menunggu tawaran positif daripada sektor swasta bagi meneruskan projek itu apabila diperlukan kelak.

“Pendirian kerajaan jelas iaitu menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam projek itu kerana kerajaan mempunyai batasannya (dari aspek kewangan).

“Kami telah meletakkan isu pembasmian kemiskinan, mitigasi banjir, infrastruktur asas, pendidikan, dan kesihatan awam sebagai keutamaan kami sekurang-kurangnya untuk satu atau dua tahun akan datang.

“Oleh itu, projek mega akan ditangguhkan kerana komitmen utama ketika ini ialah menyelesaikan beberapa isu penting berkaitan infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan dan kemiskinan,” katanya ketika sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada Selasa.

Dalam pada itu Anwar juga mengesahkan bahawa beberapa cadangan mengenai projek itu telah diterima dan ia sedang diteliti Kementerian Pengangkutan.

Bagaimanapun Anwar mengulangi bahawa kerajaan memutuskan ia HSR hanya akan dilaksanakan jika terdapat penyertaan penuh daripada sektor swasta dengan penglibatan kerajaan yang sangat minimum.

Sementara itu, Lawrance Wong pula berkata, pihaknya kini menunggu cadangan baharu pelaksanaan projek itu daripada kerajaan Malaysia.

“Adalah sesuatu yang malang apabila kita tidak dapat meneruskannya seperti yang dirancang pada asalnya. Namun, kami terbuka untuk mendengar cadangan baharu daripada pihak Malaysia, bermula dari lembaran baru.

“Itulah pendirian kami kerana dari sudut pandangan kami, peningkatan hubungan antara kedua-dua negara sentiasa menjadi satu kelebihan.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, Kabinet akan membuat keputusan sama ada untuk menghidupkan semula projek HSR Kuala Lumpur – Johor dalam masa terdekat.

Anthony Loke memaklumkan, kerajaan masih perlu memulakan semula perbincangan dengan Singapura kerana HSR adalah projek rentas sempadan.

Projek HSR telah dipersetujui secara rasmi antara Malaysia dan Singapura pada Februari 2013 dan dijangka siap pada 2026 membabitkan jajaran sepanjang 350 kilometer termasuk stesen di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, susulan pertukaran kerajaan pada 2018, Putrajaya mengumumkan projek itu akan dikaji semula berikutan kebimbangan terhadap kos dan implikasi kewangan kepada negara.

Kerja-kerja projek itu digantung pada September 2018 dan pada 2021, projek itu ditamatkan selepas kedua-dua kerajaan gagal bersetuju dengan perubahan yang diminta oleh Malaysia.

Malaysia terpaksa membayar Singapura $102.8 juta sebagai pampasan untuk kos yang ditanggung.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat