JKN Pahang lepaskan telur nyamuk bernilai lebih RM300,000 untuk basmi denggi

- Advertisement -

Oleh: Nik Syukri Ramli

KUANTAN : Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang melepaskan 880,400 telur nyamuk Aedes berwolbachia di dua lokaliti di bandar raya Kuantan sejak Oktober tahun lalu.

Dua lokaliti itu adalah projek perumahan rakyat disewa (PPRS) Pinggiran Putra dan Taman Impianku.

Pelepasan telur nyamuk itu membabitkan peruntukan berjumlah RM396,180 bagi mengatasi masalah demam denggi di kawasan terbabit.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang untuk memperluaskan inisiatif ini pada masa akan datang.

“Kalau terbukti melalui pelepasan telur nyamuk berwolbachia dapat mencegah dan mengawal denggi, sudah tentu kerajaan Pahang tidak ada masalah untuk menyokong dan memberi kerjasama kepada JKN Pahang.

“Asalkan untuk kebaikan rakyat negeri, sudah tentu kita akan sokong dan saya akan bawa perkara ini kepada pengetahuan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Kawalan Denggi Melalui Pelepasan Nyamuk Aedes Berwolbachia di Kuantan, hari ini.

Turut hadir Pengarah JKN Pahang, Datuk Nor Azimi Yunus.

Sebanyak 58,800 telur nyamuk dilepaskan siri kelima di taman perumahan berkenaan hari ini.

Sementara itu, Nor Azimi berkata, kadar penetasan nyamuk Aedes berwolbachia di kedua lokaliti itu adalah melebihi 90 peratus dan tidak ada kes demam denggi dilaporkan sejak inisiatif itu dilakukan di kawasan itu.

“Secara keseluruhan sebanyak 14 siri pelepasan telur Aedes berwolbachia akan dilakukan di setiap lokaliti.

“Macam di sini (Taman Impianku), sekarang dah lima siri dan bakinya akan selesai menjelang Mei ini.

“Ini adalah antara usaha kita untuk membasmi wabak denggi, selebihnya kita tetap memerlukan kerjasama orang ramai menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal mereka,” katanya.

Projek pelepasan nyamuk Aedes berwolbachia dimulakan di seluruh negara sejak tahun 2019.

Sehingga tahun lalu, sebanyak tujuh negeri terbabit dalam inisiatif itu.

Antaranya Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Putrajaya, Pulau Pinang, Kelantan, Melaka dan Johor.

Setiap telur berwolbachia bernilai 45 sen dan dihasilkan melalui proses kolonisasi di Institut Perubatan Kebangsaan di ibu negara.-SUARATV

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat