Yusof Haslam risau dengan industri pawagam

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam, 68, mengharapkan kehadiran tahun 2022 memberi sinar terutamanya buat penerbit filem sepertinya berikutan beberapa filem terbitan syarikatnya, Skop Productions Sdn Bhd yang dihasilkan dengan kos jutaan ringgit masih belum dapat ditayangkan.

Yusof berkata, ketika ini dua filem terbitan syarikatnya bersama Astro Shaw iaitu Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3 masih menunggu tayangan.

Ini termasuk filem arahan anaknya, Syamsul iaitu Mat Kilau yang diterbitkan Kembara Pictures.

Yusof berkata, tiga filem itu tersangkut kerana keadaan tak mengizinkan dengan situasi operasi pawagam ketika ini.

“Kita tahu pawagam sudah dibuka, tapi masih dalam penjarakan sosial dan orang pun tak pergi pawagam akibat pandemik Covid-19 selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sebelum ini,” katanya.

Yusof berterus-terang mengakui industri pawagam masih belum pulih sepenuhnya.

“Bila saya pergi pawagam, saya tengok hanya ada dua, tiga orang penonton. Ia bukan belum pulih sepenuhnya tapi belum pulih langsung.

“Saya jangan hipokrit dan tak hipokrit. kalau kita nak hipokrit mungkin boleh cakap lain. Kalau belum pulih sepenuhnya, maksudnya dia dah pergi dalam 50 peratus.

“Ini, saya pergi pawagam hanya 10 peratus saja dan kadang-kadang kosong. Ini sesuatu yang agak menyedihkan kepada industri filem, tapi bukan kita saja, semua sektor kita kena ambil tahu hal lain juga. Bukan kita sahaja yang susah tapi seluruh dunia,” katanya.

Ditanya berkenaan alternatif menayangkan filem terbabit di saluran Astro First, Yusof berkata, dia mempunyai pandangan lain dalam perkara ini.

“Nak tayang di Astro First, kalau kita buat filem yang bajet besar sampai berjuta-juta, saya rasa tak kena sebab untuk dapat pulangan macam susah kerana kosnya tinggi. Namun, kalau buat filem skala sederhana bawah RM1 juta, itu tak mengapa. Jadi kita punya pertaruhan tak besar. Itupun risiko juga kerana bukan bermakna bila tayang di Astro First akan dapat sambutan. Dia tengok pada kualiti dan tarikan cerita ini. Ada juga filem yang tayang di situ tapi tak menjadi. Persaingannya sama juga macam di pawagam,” katanya.

Menurut Yusof, dia mencari satu alternatif berbeza apabila menghasilkan filem Penunggang Agama 1 dan 2 yang ditayangkan di Astro First dan mendapat sambutan menggalakkan penonton.

“Dengan cara itulah kita ‘survive’ memandangkan industri pawagam tidak bergerak. Mudah-mudahan tahun ini Allah SWT membantu kita, tiada lagi pandemik atau penyakit lain yang boleh mengganggu gugat kehidupan kita. Saya harapkan sekurang-kurangnya hujung tahun ini kita boleh bangkit semula.

“Namun, sekiranya pandemik ini berlarutan rasanya saya dah tak mampu bertahan. Filem saya menelan kos RM5 hingga RM6 juta dah dua tahun. Kita mengharapkan yang terbaik,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat