KUALA LUMPUR — Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentang minggu depan.
Beliau berkata, laporan akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Insya-Allah menteri (Azalina) akan bentangkan minggu depan sebelum (berakhir sesi persidangan), 12 Disember ini.
“Saya sudah dapat usul dan edaran laporan juga telah dibuat, ia diletakkan di meja semua Ahli Parlimen.
“Kita juga berharap ia akan dibahaskan dan media harus melaporkannya supaya rakyat tahu apa yang berlaku dan dari situ kita akan lihat ‘what’s next’ (tindakan seterusnya),” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Potensi Industri Lembu Hibrid Pedaging Malaysia 2024 di Parlimen hari ini.
Johari menambah beliau tidak boleh mendedahkan kandungan laporan itu, memandangkan ia belum dibentangkan menteri yang terbabit.
“Walaupun laporan itu sangat sulit tetapi ada setengah daripada maklumat itu kita sudah ‘declassified’ (nyahsulit).
“Kita pun tak tahu apa akan berlaku tetapi menteri ada perancangannya. Apa yang penting kita tunggu pembentangannya,” katanya.
Semalam, laporan RCI setebal 217 muka surat diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Ia termasuk syor iaitu siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
Penubuhan RCI berkenaan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 14 Februari lalu selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).