Al-Sultan Abdullah titah Malaysia tolak segala bentuk keganasan terhadap insan tak berdosa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah Malaysia menolak segala bentuk keganasan terhadap insan yang tidak berdosa dalam sesuatu konflik bersenjata.

Titah Seri Paduka, ia termasuk tindakan pengeboman ke atas orang awam, hospital dan sekolah, serta pemotongan bekalan air, makanan serta elektrik kepada orang awam.

Sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, baginda bertitah, menjadi tanggungjawab Malaysia untuk menolak semua bentuk keganasan yang bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan antarabangsa.

“Barisan kepimpinan negara, termasuk pemimpin dalam bidang keselamatan dan pertahanan, hendaklah sebilang masa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keamanan serta kemanusiaan sejagat.

“Beta khuatir jika kita tidak menerapkan prinsip-prinsip terbabit mulai sekarang, nescaya sebarang pertikaian pada masa hadapan akan berakhir dengan konflik bersenjata yang mengenepikan segala bentuk rasional kemanusiaan,” titah Seri Paduka pada Istiadat Konvokesyen Ke-13 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bertema ‘Graduan Madani, Kesejahteraan Masa Hadapan’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad; dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Seterusnya, Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UPNM bertitah, dalam era serba mencabar kini, peranan institusi pengajian tinggi (IPT) menuntut anjakan paradigma baharu ke arah kecemerlangan sebagai institusi sandaran rakyat dan negara.

Justeru, titah Seri Paduka, pihak berkenaan seperti UPNM sebagai sebuah universiti pertahanan premier di rantau ini, bertanggungjawab melahirkan pemimpin masa hadapan dalam menjaya serta mempertahankan kelangsungan kepentingan strategik negara.

“Universiti ini (UPNM) hendaklah sentiasa berpegang kepada falsafah dan visi penubuhannya. Lantaran itu, universiti ini perlu mendepani cabaran realiti geopolitik semasa dengan bijaksana dan sentiasa meneroka serta mengenal pasti bidang-bidang baharu dalam landskap keselamatan dan pertahanan.

“Kepelbagaian ilmu baharu dalam bidang ini perlu diamati serta dikaji rapi dengan teliti, dan selanjutnya universiti ini hendaklah menawarkan idea-idea baharu serta kerangka strategi yang sesuai dengan keperluan mutakhir keselamatan dan pertahanan negara.

“Mengambil kira konflik bersenjata sedang berlaku di pelbagai pelosok dunia ketika ini, UPNM wajar dijadikan sebuah pusat utama dalam menerapkan kefahaman dan pematuhan masyarakat serta pemimpin masa hadapan negara terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” titah Seri Paduka, lapor BH.

Al-Sultan Abdullah bertitah, undang-undang antarabangsa itu adalah peraturan yang tertumpu kepada elemen kemanusiaan dalam mengawal kesan buruk akibat konflik bersenjata dan peperangan.

Menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh graduan UPNM yang berjaya menamatkan pengajian kali ini, baginda turut menzahirkan titah pesanan bahawa dalam membelah arus kehidupan mendatang, graduan hendaklah sentiasa berpegang teguh kepada prinsip integriti dan beramanah.

“Selain itu, menanam nilai-nilai murni sebagai amalan dalam apa jua yang akan dilakukan, pertahankan ketinggian maruah serta jati diri agar tidak hanyut dan alpa dengan persona duga yang melanda,” titah Al-Sultan Abdullah.

Konvokesyen kali ini meraikan seramai 1,490 graduan membabitkan 11 pada peringkat ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana (93), sarjana muda (986) dan diploma (400) dalam pelbagai bidang pengajian.

UPNM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada tiga tokoh, iaitu Panglima Angkatan Tentera ke-17, Jeneral (Bersara) Tan Sri Azizan Ariffin TUDM, dalam bidang Kejuruteraan Aeronautik; Panglima Angkatan Tentera ke-18, Jeneral (Bersara) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (Strategik dan Hubungan Antarabangsa); dan mantan Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Datuk Khalid Ghanim Mohammed Al-Ghaith (Hubungan Antarabangsa).

Selain itu, istiadat kali ini juga menganugerahkan Hadiah Akademik 2023 kepada 60 graduan Phd, sarjana, sarjana muda dan diploma.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat