‘Saya ada skrip, tiada pelabur’ – Yana

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai tidak mengetahui, aktres Yana Samsudin pernah bergelar pengarah filem pada usia 23 tahun. Filem pertama arahannya berjudul Selamat Pagi Cinta lakonan Pierre Andre, Nur Fazura dan Sharifah Aman menemui penonton pada 2008.

Kongsinya, dia adalah sutradara wanita paling muda dalam industri perfileman tempatan dengan mengarahkan filem format 35 milimeter (mm).

“Saya mungkin wanita paling muda mengarahkan filem format 35mm. Sekarang, ramai pengarah filem wanita, tetapi mereka bukannya menggunakan medium itu.

“Saya berterima kasih kepada produser, David Teo kerana berani memberikan saya peluang. Kalau ikutkan, saya berasal dari kerja balik tabir, jadi saya terima tawaran di bawah Metrowealth International Group (MIG) selaku pengarah muda.

“Sebelum menjadi pengarah, saya banyak buat kerja di balik tabir seperti rakaman suara, penyuntingan dan sebagainya. Disebabkan itu, saya ditawarkan mengarahkan filem Selamat Pagi Cinta,” katanya.

Yana berkongsi pengalaman pada sesi IG Live membincangkan topik Persediaan Menjadi Pengarah Tanpa Gagal anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), baru-baru ini.

Sesi bersama penggiat seni itu dianjurkan sempena menyemarakkan Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember ini.

Yana berkata, dia mengarahkan filem Selamat Pagi Cinta ketika masih mengikuti pengajian Seni Layar di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kongsi wanita asal Yong Peng, Johor itu lagi, minatnya pada kerja di balik tabir bercambah selepas ditawarkan bekerja di bahagian penyuntingan di Metrowealth International Group (MIG).

“Dari situ saya belajar mengenai penyuntingan dan bermula minat terhadap industri perfileman. Pada masa sama, saya bekerja dan belajar di UiTM.

“Ketika itu, saya tidak kisah soal dunia glamor, sebab saya memang mahu bekerja di balik tabir,” katanya.

 

Yana menjadi sutradara wanita paling muda dalam industri perfileman tempatan dengan mengarahkan filem Selamat Pagi Cinta yang mendapat kutipan hampir RM1 juta pada 2008.
Yana menjadi sutradara wanita paling muda dalam industri perfileman tempatan dengan mengarahkan filem Selamat Pagi Cinta yang mendapat kutipan hampir RM1 juta pada 2008.

 

Bagaimanapun, sebagai pengarah muda, Yana tidak menafikan, dia juga menghadapi banyak cabaran, apatah lagi, tidak ramai wanita bekerja di balik tabir pada waktu itu.

Katanya, dia pernah melakukan satu kesilapan yang masih segar dalam ingatannya.

“Ratio di pawagam Malaysia dan stesen televisyen (TV) tidak sama. Saya pula merakamkan filem Selamat Pagi Cinta dalam format ‘wide angle’.

“Ini disebabkan filem ini berkisarkan dua cerita. Satu cerita dipaparkan secara ‘close up’ dan satu lagi secara ‘wide’.

“Saya buat kesilapan di mana saya buat ‘wide’ mengikut spesifikasi filem Bollywood. Di pawagam memang cantik, tetapi terpotong apabila masuk kaca TV.

“Saya lupa filem ini turut ditayangkan di stesen TV. Disebabkan itu, pengarah kena tahu medium tayangan filem. Disebabkan kesilapan ini, orang cakap saya tak pandai mengarah,” katanya.

Namun, Yana terima dengan terbuka apabila ada yang memberikan komen negatif. Ini kerana, dari situ dirinya banyak belajar dan berbangga apabila filem Selamat Pagi Cinta meraih hampir satu juta kutipan.

Bagi industri perfileman yang baru bermula naik ketika itu, Yana berkata, satu juta adalah jumlah kutipan yang cukup baik.

Susulan kejayaan itu, Yana mahu meneruskan karier pengarahan, bagaimanapun rezekinya lebih berpihak pada dunia lakonan.

“Saya terima tawaran berlakon filem Bini-Biniku Gangster sebagai watak utama. Ini adalah filem pertama saya sebagai heroin, jadi saya memang kecut perut.

“Namun, selepas itu lakonan saya disambut baik dan menerima banyak tawaran lakonan sehingga tidak berpeluang mahu mengarah,” katanya.

 

Yana bersama suaminya, Fadzil Zahari dan dua cahaya matanya. - Foto IG Yana Samsudin
Yana bersama suaminya, Fadzil Zahari dan dua cahaya matanya. – Foto IG Yana Samsudin

 

Ditanya keinginannya kembali menduduki kerusi pengarah, Yana mengakui, kurang penerbit mahu berbelanja besar membuatkan hasratnya sukar direalisasikan.

“Apabila mahu menerbitkan karya, kena kira banyak benda. Itu sebab kita sekarang lebih banyak filem berbajet kecil.

“Sebab saya suka genre animasi dan haiwan, tetapi sukar mahu merealisasikan filem bergenre itu.

“Saya ada skrip, tetapi tiada orang nak melabur, jadi saya masih mencari siapa sudi menaja. Jika menerima dana dari FINAS paling banyak adalah RM400,000. Ia tidak mencukupi menghasilkan filem.

“Bukanlah mengatakan FINAS tidak membantu, tetapi namanya pun bantuan, takkanlah mereka nak tanggung kos sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, Yana berkata, pelabur perlu lebih berani melabur, agar industri perfileman dapat berkembang, sekali gus menyokong hasrat FINAS membawa filem tempatan ke persada antarabangsa.

“Pembikin filem Indonesia pernah melalui zaman kegelapan, tetapi selepas kerajaan banyak melabur, jadi industri perfileman kembali meningkat. Sama juga dengan Korea, mereka juga pernah mengalami perkara sama.

“Tetapi, disebabkan menghargai nilai seni, industri mereka kini dipandang tinggi. Kita boleh lihat mereka mengetengahkan lokasi dan budaya dalam filem.

“Contohnya, apabila menonton drama popular Winter Sonata, ramai teringin mahu ke Pulau Nami. Kita juga boleh berbuat sedemikian, menggunakan Hulu Langat sebagai lokasi,” katanya.

Selain itu, Yana percaya sikap menyokong karya tempatan mampu memartabatkan industri perfileman ke mata dunia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat