Tanda-Tanda Kucing Marah Dengan Kita

- Advertisement -

Bukan setiap masa kucing kita suka dengan kita. Memang sudah begitu sifatnya, kucing ada anginnya juga macam manusia.

Cuma kita kurang mengerti kerana mereka tak boleh bercakap, hanya memendam rasa yang entah apa sebabnya mereka marah pada kita.

Begitupun, harus kita sentiasa ingat bahawa kucing juga punyai perasaan yang perlu kita fahami dalam membentuk perhubungan yang lebih baik antara manusia dengan haiwan comel ciptaan tuhan itu.

Ini adalah antara tanda-tandanya kucing marah pada kita:

1. Kucing perhatikan sahaja kita dari jauh

Kalau kucing kita yang selalunya mesra tiba-tiba suatu hari duduk jauh perhatikan kita, ada lah tu benda yang kita buat dia marah. Mungkin sebab dia terkejut, tak diberi makan, atau dia ada bau benda asing pada kita. Solusinya? Biarkan, lama-lama elok lah tu.

2. Dia menggeram pada kita

Ingat anjing sahaja boleh menggeram (growl)? Kalau kucing kita dah buat begitu maka jelas lagi bersuluh bahawa dia tidak gembira. Perlahan-lahan cuba bagi makan, bermain dengannya atau cakap elok-elok dengannya. Sungguhpun bahasa kita mereka tak faham, mereka dapat rasa vibe yang kita berikan padanya.

3. Si comel jauhkan diri daripada permainan kegemaran mereka

Macam orang juga, sampai satu tahap si kucing akan bosan dengan sesuatu objek yang sebelum itu menjadi bahan permainannya. Cuba elakkan kebosanan itu dengan memberikan rangsangan yang pelbagai.

4. Dia menyorok di bawah sofa dan tak mahu keluar

Bersembunyi adalah antara perlakuan jelas bahawa kucing kita sedang tidak gembira. Jangan paksa, biarkan masa yang mengubati hatinya.

5. Bulunya dikembangkan

Apabila kucing rasa terancam, dia akan melengkungkan badan ke atas dan bulunya jadi kembang. Dalam keadaan ini, janganlah gatal-gatal diusik kucing itu, tak pasal kena terkam nanti. Biarkan, lama-lama redalah.

6. Telinganya ke belakang

Telinga yang ditarik ke belakang menjadi bentuk seperti sayap kapal terbang menandakan si kucing sedia untuk menyerang bila-bila masa. Jangan cuba nak dekat, anda mungkin akan dicederakan.

7. Buang air besar pada bantal kita

Ini adalah petanda terbesar bahawa dia sedang murka dengan kita. Walaupun kita sudah beri dia makan, beri tempat tidur dan macam-macam, perkara ini pasti akan dialami oleh para pemilik kucing sekurang-kurangnya sekali.

8. Mereka menolak makanan kegemaran mereka

Selalunya ini berlaku apabila ada sesuatu yang unik dan baharu berlaku, seperti perubahan rutin, atau kelahiran bayi baharu mahupun kehadiran kucing baharu. Perlu diperhatikan juga, kerana boleh jadi ia tanda bahawa kucing kita tak sihat. Kalau dia tak makan lebih daripada dua hari, bawanya pergi berjumpa doktor veterinar.

9. Si manja kencing merata

Apabila kucing kita mula membuang air kecilnya pada tempat-tempat empuk seperti longgokan baju bersih dan sofa, maknanya dia sedang dalam masalah. Kalau berlarutan, bawalah pergi jumpa doktor.

10. Kucing memintal-mintalkan ekornya

Selain mata, ekor juga salah satu cara halus kucing memberitahu perasaannya. Kalau nampak ekornya dipintal-pintal dan diseret rendah ke kiri dan ke kanan, jangan cuba-cuba nak buat perkara-perkara pelik. Biarkan mereka dan perasaannya.

Kucing ini sememangnya haiwan yang sangat sukar untuk difahami, tetapi kita tidak dapat elak daripada terus jatuh cinta dengan mereka. Sesungguhnya menjaga kucing ini sangat melatih kesabaran kita.

Maka bertabahlah, demi cinta – RancakTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat