15,000 Penjawat Awam Dapatkan Khidmat Psikologi Januari Hingga September Lalu – JPA

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan sekitar 15,000 penjawat awam mendapatkan perkhidmatan kaunseling dari Januari hingga September lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, jumlah itu juga termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan bermula Mac lalu.

Beliau berkata, data berkenaan diperoleh daripada Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sepanjang tempoh PKP itu, permintaan terhadap perkhidmatan psikologi tidak lagi terhad kepada penyampaian perkhidmatan secara konvensional.

“Penyampaian perkhidmatan psikologi melalui intervensi digital seperti bimbingan, kaunseling, psikoterapi dan penilaian psikologi disediakan, bagi membantu pelanggan mendapatkan perkhidmatan dengan segera terutama dalam kes kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam ke-24 yang diadakan secara dalam talian menerusi laman Facebook JPA hari ini.

Persidangan berkenaan bertemakan ‘Norma Baharu Perkhidmatan Psikologi: Intervensi Digital’ yang berlangsung selama tiga hari iaitu 5, 9 dan 11 November secara dalam talian bagi meraikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Pada majlis itu, Mohd. Khairul Adib turut melancarkan sistem ujian psikologi dalam talian Inventori Kesejahteraan Holistik (IKH) bagi menilai kesejahteraan psikologi penjawat awam.

Menurutnya, ujian psikologi itu akan menilai enam domain utama, iaitu kesejahteraan emosi, kepuasan hidup, kefungsian psikologi, kesejahteraan sosial, kesejahteraan pekerjaan dan kesihatan mental.

“Akibat pandemik Covid-19 ini, ada individu yang terganggu dan terkesan dengan pelaksanaan PKP hingga menjejaskan kesejahteraan psikologi diri seperti kegelisahan, ketakutan dan terasing apabila mengamalkan penjarakan fizikal.

“Jika ia tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh mencetuskan reaksi negatif kepada fisiologi tubuh badan dan mereka cenderung mengalami stres, jatuh sakit dan mengalami penurunan kefungsian kognitif.

“Ini juga memberi implikasi negatif kepada prestasi kerja pegawai berkenaan,” katanya.

Berdasarkan sumber MHPSS KKM, seramai 64,366 orang awam mendapatkan perkhidmatan psikologi terutama sepanjang tempoh PKP.

Daripada jumlah itu, 55 peratus mendapatkan perkhidmatan bantuan awal psikologi atau Psychological First Aid (PFA) dan 22.5 peratus membabitkan isu kesihatan mental. – K! ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat