KUALA LUMPUR – Malaysia dan Republik Korea bersetuju melaksanakan pengecualian daripada Korea Electronic Travel Authorisation (K-ETA) dengan matlamat untuk mengukuhkan lagi hubungan semasa rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam pertemuan sulungnya dengan Presiden Republik Korea, Yoon Suk Yeol kedua-dua mereka telah menyatakan komitmen dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Republik Korea yang sedia ada serta meneroka peluang-peluang kerjasama baharu demi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Antara hasil utama perbincangan termasuklah pertukaran lawatan di peringkat tinggi dan potensi pengecualian daripada Korea Electronic Travel Authorisation (K-ETA) dengan matlamat untuk mengukuhkan lagi hubungan semasa rakyat,” katanya dalam kenyataan sewaktu di persidangan ASEAN-ROK (Republic of Korea) ke-24, pada Rabu.
Untuk rekod, K-ETA bukan visa tetapi K-ETA ini wajib ada dan wajib diluluskan sebelum penerbangan rakyat Malaysia ke Korea.
Menurut Anwar, kesempatan yang ada juga digunakan dalam pertemuan dua hala bersama Tuan Yang Terutama Yoon Suk Yeol, Presiden Republik Korea di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 ini.
Kata beliau, ini merupakan pertemuan kali pertama sejak masing-masing memegang jawatan sebagai Presiden Republik Korea dan Perdana Menteri Malaysia pada bulan Mei dan November 2022.
Selain itu, jelas Anwar lagi semasa Sidang Kemuncak ASEAN-ROK ke-24 hari ini, beliau menggariskan kepentingan mempromosikan literasi digital, teknologi inovatif, dan kesalinghubungan infrastruktur digital untuk memperkasa dan mengantarabangsakan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (MSME), selari dengan Kerangka Ekonomi Madani.
“Saya turut mengalu-alukan penubuhan ASEAN-ROK Cooperation Centre for Carbon Neutrality and Green Transition sebagai usaha kolektif ASEAN-ROK untuk menangani perubahan iklim.
“Hatta,cadangan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-ROK pada tahun 2024 sempena sambutan ulang tahun ke-35 hubungan dialog ASEAN-ROK juga disifatkan sangat baik serta wajar dilaksanakan,” ujarnya.