KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Umno Isham Jalil menganggap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai tamak apabila menegaskan Barisan Nasional (BN) tidak akan menyerahkan mana-mana 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya di Melaka kepada parti lain sekiranya kerjasama politik diteruskan.
Susulan penegasan Zahid itu, Isham yang kini mesra Pas menyeru supaya Perikatan Nasional (PN) lawan BN di Melaka.
“Ok lah, kalau macam itu kita ‘hijaukan’ jelah.
“Apa nak buat, orang tamak selalu rugi.
“Benda boleh lawan buat apa nak bincang, kan Zahid? soal Isham.
Isham berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Presiden Umno yang sebelum itu berkata, pendirian itu telah dipersetujui apabila semua kerusi dimenangi BN akan terus dipertahankan oleh parti berkenaan.
“Kita telah menetapkan bahawa kerusi yang kita menang tidak akan pernah dikongsi dengan mana-mana pihak.
“Ketua Menteri Melaka memaklumkan kepada saya beliau berazam mempertahankan kesemua 21 dari 28 kerusi di Melaka,” katanya.
Namun, Zahid juga berkata, ruang perbincangan dengan rakan kerjasama dengan PN masih terbuka.


