KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Lee Yee Yuan mempersoalkan, kenapa kerajaan seolah-olah langsung tidak mengendahkan rintihan rakyat Malaysia yang semakin tidak selesa dengan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak terkawal di negara ini?
Yee Yuan menegaskan, sudah tiba masanya Malaysia tidak lagi terus menanggung beban ratusan ribu pelarian ini.
“Jurucakap Kerajaan Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kerajaan tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian Rohingya ke Myanmar sekiranya terdapat risiko mereka dizalimi atau nyawa mereka terancam, meskipun kerajaan Myanmar telah bersetuju menerima pulang 5,000 pelarian dari Malaysia.
“Kenyataan ini amat mengecewakan dan menghina perasaan rakyat Malaysia.
“Jika kerajaan Myanmar sendiri telah bersetuju menerima mereka, maka biarlah kerajaan Myanmar menguruskan masalah mereka sendiri.
“Tindakan kerajaan hari ini menimbulkan dua persoalan yang sangat penting iaitu kenapa Kerajaan Malaysia dilihat takut kepada Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani, yang secara terbuka mendesak dan mempertikaikan keputusan kerajaan untuk menghantar pulang kira-kira 5,000 pelarian Rohingya ke Myanmar?
“Kenapa kerajaan seolah-olah langsung tidak mengendahkan rintihan rakyat Malaysia yang semakin tidak selesa dengan kebanjiran PATI yang tidak terkawal di negara ini? Kerajaan PH diingatkan supaya mengutamakan kepentingan rakyat Malaysia, bukannya kepentingan PATI,” bidas Yee Yuan dalam kenyataan media.
Beliau mengingatkan, bukan sekadar 5,000 orang, rakyat Malaysia mahu kerajaan mendapatkan jaminan serta kuota yang sama seperti yang dijanjikan kepada Bangladesh oleh Myanmar, iaitu sehingga 300,000 orang, supaya semua pelarian Rohingya di negara ini dapat dihantar pulang secara berperingkat.
Semalam Menteri Komunikasi berkata, Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian Rohingya ke Myanmar sekiranya terdapat risiko mereka dizalimi atau nyawa terancam meskipun negara itu bersetuju menerima 5,000 pelarian dari negara ini.
Kata Fahmi lagi, kerajaan menerusi Wisma Putra akan meneliti terlebih dahulu beberapa perkara termasuk aspek keselamatan sebelum proses penghantaran pulang dilaksanakan termasuklah mengenal pasti 5,000 pelarian yang terlibat.
“Semestinya Malaysia sebagai sebuah negara bertanggungjawab tidak akan menghantar pulang sekiranya 5,000 orang pelarian Myanmar ini (berisiko) sama ada akan dizalimi ataupun nyawa mereka akan terancam.
“Jadi, ada beberapa perkara yang kita akan teliti dahulu dalam perbincangan dengan kerajaan junta di Myanmar sebelum kita laksanakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya pada Rabu.
Fahmi memberitahu, Kerajaan Myanmar sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menerima 5,000 pelarian terbabit, namun Malaysia masih perlu meneliti kriteria yang ditetapkan sebelum proses penghantaran dilakukan.
“Apa yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim 5,000 orang pelarian Myanmar ini pihak kerajaan junta di Myanmar sedia untuk menerima, tetapi kita akan teliti apakah kriteria dan sekiranya sesuai, kita akan laksanakan tetapi Perdana Menteri mengambil maklum bahawa kita tidak boleh menghantar sekiranya nyawa mereka terancam,” jelas beliau.
Difahamkan kira-kira 190,000 pelarian dan pemohon suaka ketika ini berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dengan lebih 80 peratus daripadanya terdiri daripada etnik Rohingya dan kumpulan etnik lain dari Myanmar.
Isu kebanjiran pelarian Rohingya di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering menjadi perhatian umum, khususnya membabitkan dakwaan peningkatan penempatan di beberapa lokasi, persaingan mendapatkan peluang pekerjaan berpendapatan rendah, selain kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan ketenteraman awam yang dibangkitkan oleh masyarakat.



