Oleh Zihan Zari
PERMATANG PAUH – Politeknik Ungku Omar (PUO) terus mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju inovasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila pasukan EMERCE daripada Jabatan Perdagangan berhasil meraih pingat emas dan tempat ketiga dalam Bidang Inovasi Penyampaian Perkhidmatan pada Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif & Kreatif (HBKIK) 2026 Peringkat Kebangsaan di Politeknik Seberang Prai (PSP), dekat sini, baru-baru ini.
Majlis Perasmian Penutup HBKIK 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Hj. Ulaimi Yahya; Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi JPPKK, Dr. Shahiza Ahmad Zainuddin; dan Pengarah PSP, Hj. Mohd Ruzi Hamzah.
Kejayaan pasukan EMERCE PUO dicapai menerusi pembangunan e-Rubric, iaitu sistem penilaian digital berasaskan rubrik yang dibangunkan bagi memperkasakan proses penilaian akademik supaya lebih sistematik, telus, cekap dan berkualiti, sekali gus menyokong agenda pendigitalan penyampaian perkhidmatan di institusi TVET.
Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh berkata, pencapaian tersebut membuktikan warga PUO bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berupaya menghasilkan inovasi yang memberi impak tinggi kepada organisasi dan sistem pendidikan negara.
Menurut beliau, kejayaan ini merupakan manifestasi budaya inovasi yang sentiasa dipupuk dalam kalangan warga PUO. Inovasi seperti e-Rubric bukan sekadar meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, malah mencerminkan keupayaan pensyarah menghasilkan penyelesaian digital yang relevan dengan keperluan semasa.
“Saya berharap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi berimpak tinggi demi memperkukuh kecemerlangan TVET negara.
“Kejayaan itu juga selaras dengan aspirasi PUO sebagai Politeknik APEX yang sentiasa memperkasakan budaya inovasi, kreativiti dan penambahbaikan berterusan dalam melahirkan graduan serta warga kerja yang kompeten, berdaya saing dan berfikiran futuristik, ”katanya.
Ujarnya, PUO akan terus komited memperkasa penyelidikan, inovasi dan pendigitalan selaras dengan agenda transformasi pendidikan tinggi negara serta usaha memperkukuh ekosistem TVET yang berkualiti dan mampan.
Dr. Salmi turut merakamkan penghargaan kepada JPPKK, barisan pengurusan PUO, Jabatan Perdagangan serta semua pihak yang telah memberikan sokongan sehingga kejayaan itu berjaya direalisasikan.
Pasukan EMERCE dianggotai oleh Hashamuddin Yaakob, Nor Husna Shafini Nor Bashah, Siti Aishah Ali, Haszlina Hashim, Noor Rahayu Mohd Salleh, dan Thilagavathy Apadore.
Konvensyen yang berprestij ini bertemakan ‘HBKIK & AI: Memacu Gelombang Baharu Inovasi’ merupakan platform tahunan JPPKK melalui Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI), Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) dan PSP.
HBKIK diadakan bagi mengiktiraf projek inovasi dan amalan terbaik yang mampu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta memperkasa budaya inovasi dalam kalangan warga Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) di seluruh negara.
Pasukan E-Merce PUO menerima anugerah Pingat Emas dan Tempat Ketiga daripada Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Hj. Ulaimi Yahya.
Dalam perkembangan sama, Politeknik Port Dickson (PPD) telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan, dan Johan Kategori Sosial Konvensyen HBKIK 2026 menerusi Kumpulan Incredible, manakala kumpulan DME BOSS dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dinobatkan sebagai Johan Kategori Penyampaian Perkhidmatan.
Sebanyak 38 kumpulan inovasi yang mewakili 21 buah POLYCC dari seluruh negara telah mengambil bahagian dalam konvensyen ini. – SUARA.TV



