Tun Mahathir Hanya Pro-Melayu Bila Perlu.

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Penulis tidak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tun Dr. Mahathir baru-baru ini yang secara tiba-tiba menyerang DAP dengan menggunakan semula tajuk “DAP mahu negara sekular” sebagai point utamanya.

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang pernah hidup di zaman pemerintahan beliau ketika tokoh politik lagenda itu menjawat jawatan Perdana Menteri Ke-4 dan seterusnya Ke-7, ini merupakan gerakan taktikal beliau yang tipikal.

Semasa menjadi Presiden UMNO (tahun 1981 sehingga 2003), beliau memomokkan pembangkang sebagai anti-Melayu (khususnya DAP), Keadilan sebagai parti peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PAS pula dikatakan parti kolot yang anti-pembangunan.

Setelah keluar UMNO dan menubuhkan PPBM, DAP yang sebelum ini merupakan “musuh” utama bangsa Melayu, pada ketika itu dianggap sebagai sahabat yang mana beliau sanggup bekerjasama dengan DAP semata-mata kerana ingin menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.

Pada ketika beliau menjadi “ketua” bagi Pakatan Harapan tiada langsung kritikan diberikan kepada DAP, malah dalam satu kenyataan beliau pada tarikh 13 Mac 2018 beliau menyatakan kesanggupan untuk bertanding dibawah tiket DAP.

Kini, apabila beliau terbuang daripada PPBM, hilang deposit pada PRU-15 dan akhirnya keluar daripada Parti Pejuang yang ditubuhkan bersama anaknya Mukhriz, beliau kembali dengan naratif politik pro-Melayu dan seperti biasa sasaran awalnya adalah DAP.

Tun Dr. Mahathir amat memahami psikologi majoriti pengundi Melayu yang amat mudah untuk dipujuk rayu, terutamanya apabila didodoikan dengan naratif yang berkaitan bangsa dan agama.

Oleh yang demikian beliau muncul lagi dengan pelbagai “helah” baharu bagi menambat hati pemimpin dan orang Melayu, yang mana antaranya adalah Proklamasi Melayu yang rata-ratanya disokong oleh parti politik (PAS & PPBM) dan juga NGO Muafakat Nasional.

Penulis tidak menyangkal peri pentingnya agenda pembangunan orang Melayu/Bumiputera untuk terus dilaksanakan tidak kira parti politik apa yang memerintah.

Malah, penulis juga berpendapat apa yang terkandung di dalam Proklamasi Melayu “karangan” beliau ada manfaatnya, cuma yang diragui adalah keikhlasan beliau dan sejauhmana beliau akan berlaku jujur untuk berusaha ke arah pembangunan ekonomi dan sosial orang Melayu.

Sifat “Pro-Melayu” Tun Dr. Mahathir ini ada pasang surutnya, yang mana ia seperti butang kecemasan (emergency button) yang hanya ditekan apabila perlu, dan dilupakan apabila senang.

Tun Mahathir sering mengkritik, kononnya pemimpin Melayu gagal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga orang Melayu pada ketika ini masih lagi lemah dan berpecah belah.

Tetapi, setelah 22 tahun + 22 bulan memerintah negara ini, adakah Tun Dr. Mahathir sedar sekiranya Melayu itu dianggap gagal dan lemah, ia adalah kerana kita telah meletakkan kepercayaan kepada beliau untuk memimpin kita.

Dari sudut politik pula, tindakan Tun Dr. Mahathir yang acap kali menubuhkan parti baharu yang “Pro-Melayu” dilihat lebih merosakkan daripada tindakan mana-mana pihak lain di Malaysia.

Sudah tiba masanya Tun Dr. Mahathir sedar bahawa beliau kini menjadi liabiliti, bukan hanya kepada bangsa Melayu, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sewajarnya, beliau memberikan ruang kepada pemimpin negara pada ketika ini untuk berusaha membawa Malaysia keluar daripada kegawatan.

Tidak sepatutnya beliau melakukan sebarang tindakan untuk menganggu gugat pemerintahan sedia ada, kerana ini akan merencatkan segala gerak kerja kerajaan khususnya pada masa seluruh ekonomi dunia dalam keadaan kritikal seperti kini.

Bagi memperkasakan semula negara kita, negarawan seperti Tun Dr. Mahathir perlu menjadi tali pengikat perpaduan, bukan hanya kepada bangsa Melayu, tetapi untuk semua rakyat Malaysia berbilang kaum.

Tetapi, jika beliau terus bersikap sebegini, tidak mustahil nanti Tun Dr. Mahathir akan diingati sebagai Bapa Perpecahan Negara dan bukannya Bapa Permodenan sepertimana yang pernah digelarkan kepada beliau suatu masa dahulu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat