KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan pindaan terhadap salah satu pertuduhan yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung kes suapan berjumlah RM3.3 juta.
Keputusan itu dibuat Hakim Azura Alwi selepas berpuas hati dengan permohonan pihak pendakwaan selaras Seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, pindaan dibuat adalah memenuhi peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009
“Walaupun pindaan terbabit hanya dikemukakan pada peringkat akhir kes pendakwaan, mahkamah berpandangan perkara itu tidak akan memprejudiskan dan mendatangkan sebarang ketidakadilan terhadap OKT (Orang Kena Tuduh).
“Pihak-pihak mempunyai hak di bawah Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah untuk memohon memanggil semula mana-mana saksi yang wajar berikutan pindaan kepada pertuduhan berkenaan,” katanya memetik Harian Metro pada Rabu.
Sejurus selepas pindaan pertuduhan dibenarkan, jurubahasa mahkamah kemudian membacakan semula pertuduhan terbabit yang mana perkataan ‘menerima’ digugurkan berbanding pertuduhan asal.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Kesalahan itu dilakukan di pejabatnya di KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017.
Berikutan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
“Ya saya faham, minta bicara,” kata Guan Eng.
Pada 20 April lalu, pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Sesyen untuk meminda salah satu pertuduhan dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dilaporkan berkata, pindaan membabitkan perkataan ‘menerima’ ditukarkan kepada bertujuan untuk suapan.
Menurutnya, ia dibuat bagi memenuhi undang-undang di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu tidak ada menyatakan menerima atau meminta suapan sebaliknya tertumpu kepada tujuan suapan.
Beliau berkata, pindaan bagi perkataan dalam pertuduhan pertama itu tidak memberi kesan kepada keseluruhan kes kerana jumlah suapan RM3.3 juta masih ada dan pembelaan juga kekal menafikan tidak menerima suapan terbabit.



