Liza seronok beraya bersama cucu pertama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemenang kategori Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Liza Abdullah mengakui Syawal disambut meriah dengan kehadiran cucu sulung, Nadine Alya, tahun ini.

Kata Liza, dia sekeluarga mengambil keputusan beraya di Kuala Lumpur secara sederhana.

“Keutamaan saya dalam apa juga perkara termasuk sambutan raya lebih kepada anak. Saya tidak kisah perihal berganti baju sendiri. Yang penting, baju raya anak.

“Untuk saya sendiri cukuplah sepasang jubah atau sehelai baju kurung. Tahun ini, saya teruja macam lain disebabkan dengan kehadiran cucu pertama,” katanya yang ditemui di majlis Seikhlas Hati dan ST Rosyam Mart, baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas menu raya, bintang senior yang meledak menerusi watak Mak Leha dalam drama rantaian 7 Hari Mencintaiku itu tidak malu mengaku tidak pernah masak untuk keluarganya.

“Baik ketika raya mahupun hari biasa, saya memang jarang memasak. Macam sebelum ini, rezeki Allah berikan bekas suami bekerja dalam katering.

“Sekarang lagi mudah kerana boleh tempah dalam talian. Secara tak langsung, ini membolehkan saya membantu kawan lain yang berniaga,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, biar mengaku jarang masuk ke dapur, pelakon senior aktif sejak era 1980-an itu masih boleh memasak.

“Saya tahu, kalau saya memasak mesti hasilnya sedap. Bukanlah nak cakap besar. Saya juga seorang yang mengikut sukatan memasak, sejak dahulu lagi.

“Saya jenis tak pandai untuk agak-agak seperti orang lain. Sejujurnya, sebelum kahwin arwah ibu tak benarkan saya masuk dapur,” katanya.

 

Liza meraikan Syawal bersama anak-anaknya di Kuala Lumpur. - Foto IG Liza Abdullah
Liza meraikan Syawal bersama anak-anaknya di Kuala Lumpur. – Foto IG Liza Abdullah

 

Liza memulakan langkah dalam dunia seni sebagai penyanyi pada 1984 berkata, dia juga pernah menyediakan menu puding karamel.

“Saya sempat belajar buat puding karamel dengan arwah Zaibo. Selain itu, saya juga belajar buat rojak buah.

“Anak pun sudah faham, bahkan kalau saya masak mi segera pun mereka sudah beriya-iya memuji sedap,” katanya.

Sepanjang menyambut Ramadan, Liza bersyukur memiliki anak yang baik dan tidak cerewet.

“Bangun sahur pun cukup saya dan anak makan buah kurma sahaja kerana saya tak memasak.

“Lagipun, waktu sahur saya tak praktikkan memasak. Jika berbuka puasa, kalau dapat teh tarik dan murtabak pun memadai. Cuma waktu moreh, saya makan lebih sedikit,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama 30 Hari Sebelum Raya ini bersyukur terus diberikan limpahan rezeki dalam dunia lakonan.

Hampir empat dekad bergelar pelakon, pemilik nama sebenar, Norliza Abdullah tidak menyangka, pada usia ‘senja’ masih diterima peminat dan menjadi pilihan pengarah dan penerbit.

“Dengan bakat kurniaan Allah, saya beroleh rezeki. Tidak pernah terfikir mengenai anugerah. Saya ikhlas dan bekerja keras demi kelangsungan hidup dan membesarkan anak.

“Saya percaya kalau ikhlas dan buat yang terbaik, orang akan cari kita. Biar nama kita lambat meniti di bibir peminat, namun, lambat-laun kerja berbicara. Populariti boleh datang dan pergi.

“Saya juga berpegang kepada prinsip tak perlu kongsi apa-apa secara terbuka dalam media sosial. Ini termasuklah jika rasa dikhianati, ditipu dan sebagainya,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat