Osama, Zaki nak satukan keluarga Jamal

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Membesar sebagai anak kepada penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah bukanlah perkara mudah untuk digalas oleh pendatang baru, Osama Yamani, 21.

Seperti mana setiap keluarga berkumpul setiap kali musim perayaan, begitu jugalah yang didambakan oleh Osama untuk Aidilfitri tahun ini.

Biarpun meluahkan hasrat secara spontan, namun kata-kata yang diungkapkan ternyata lahir daripada hati tulus jejaka berusia 21 tahun itu.

“Tiada apa yang saya harapkan selain daripada setiap ahli keluarga dapat berkumpul beramai-ramai.

“Apa yang dimaksudkan adalah ibu kandung dan bapa kandung serta ahli keluarga yang lain dapat berkumpul sempena raya. Ibu kandung saya di Beruas, Perak dan saya sering berulang alik untuk berjumpanya.

“Bukan apa, tidak pernah kami sekeluarga duduk berkumpul beramai-ramai. Pastinya meriah apabila dapat beraya bersama-sama. Apatah lagi, hubungan ibu kandung saya dan isteri ayah saya juga tiada masalah.

“Lazimnya, ayah saya sibuk dengan persembahan di ibu kota dan itu yang menyebabkan kami sukar untuk duduk beraya bersama-sama. Kebetulan ibu saya pula tinggal di kampung, jadi kekangan dari aspek itu,” kata Osama.

Osama yang kini mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian merupakan anak lelaki Jamal hasil perkahwinan bersama wanita bernama Intan Noraina Mohd Yusof.

Mengulas mengenai bapanya, Osama berkata bapanya sering memberikan nasihat dan tunjuk ajar sejak dia bergelar salah seorang peserta Big Stage 2020.

Selain menyarankannya untuk menurunkan berat badan, Jamal juga berkongsi realiti bergelar anak seni.

“Saya mendapat izin dan direstui oleh ayah. Dia restu saya masuk tapi awal-awal dengan pesanan, Man (panggilan di rumah), kamu nak masuk Big Stage, kamu kena bersiap sedia sebab kamu ada pegang satu nama juara kat belakang, sebab ayah saya dah champion tahun 1979 (Bintang RTM).

“Katanya, Man bila nyanyi kena relaks dan jangan riak. Maksud riak, adalah bila nyanyi terus nak tarik nada tinggi. Katanya, kita menyanyi untuk menyampaikan kepada orang cerita yang terdapat dalam lagu itu.

“Kau kena ikhlas supaya sampai kepada pendengar dan jangan riak. Katanya, kalau berduet pula jangan nak anggap diri hebat, sebab semua itu hebat. Kita berduet ramai-ramai, kita bergabung bukan kita nyanyi solo. Banyak lagi pesanan ayah pada saya,” katanya.

 

Zaki Yamani
Zaki Yamani

 

Sementara itu, adik kepada Osama iaitu Zaki Yamani turut ditemui di majlis yang sama anjuran syarikat pengurusan MVM dan Rusa Music yang bertempat ibu pejabat label berkenaan, di Puchong, baru-baru ini.

Zaki, 19, menjelaskan sebelum ini timbul kontroversi apabila bapanya mengeluarkan kenyataan tidak benar menuduh ibunya, Fatimatuzahra Samad sebagai penyebab yang merenggangkan hubungan mereka.

Menurut pemilik nama penuh Ahmad Zaki Yaman, 16, dalam sebuah video Instagram, ibunya tidak seharusnya dituduh sedemikian memandangkan wanita itulah merupakan individu yang sentiasa bersamanya pada waktu susah dan senang.

“Sebenarnya baba (panggilan untuk Jamal) boleh saja jumpa Zaki. Babah janji nak jumpa tetapi tiada, saya WhatsApp pun tidak berbalas. Jadi, berhenti burukkan ibu saya,” katanya.

Dalam pada itu, Zaki meminta pelantun lagu Kekasih Awal dan Akhir itu berhenti mereka-reka cerita tentang kemelut itu.

Terdahulu, Jamal menerusi laporan sebuah portal berbahasa Melayu mendakwa dia dihalang oleh bekas isterinya iaitu Fatimatuzahra bertemu Zaki selepas bercerai.

Katanya, kali terakhir bertemu Zaki ialah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu selama setengah jam di sebuah kediaman sahabatnya.

Kenyataan itu bagi menjawab dakwaan Zaki sebelum ini yang mendedahkan kali terakhir dia menyambut hari raya bersama bapanya pada tahun 2016.

Sebagai info, Zaki merupakan anak daripada hasil perkahwinan bersama Fatimatuzahra.

“Saya tinggal di Kajang bersama dengan ibu, namun raya pertama tahun disambut di Shah Alam. Ini kerana atuk tinggal di Seksyen 4, jadi kami ke sana untuk meraikan Aidilfitri bersama mereka.

“Sejujurnya, saya lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga belah ibu saya. Kali terakhir beraya bersama baba pun ketika saya darjah empat iaitu pada tahun 2016.

“Saya tidak berkecil hati atau sebagainya, cuma tidak mahu baba memburukkan ibu yang menjaga saya sejak kecil lagi. Mengenai kerjasama dalam lagu atau sebagainya, saya terbuka untuk berkolaborasi.

“Itu adalah pengalaman baru buat saya, jika diberikan peluang untuk berkongsi pentas yang sama pun saya tiada masalah. Kami pun anak-beranak, cuma kekangan kerana baba terlalu sibuk dengan kerja untuk merakamkan lagu pada hari yang sama,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat