Rakyat, termasuk VVIP, selebriti dititah patuh SOP – Sultan Kelantan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan semua pihak termasuk golongan kenamaan atau VVIP dan selebriti supaya tidak merentas negeri sekiranya tiada kecemasan dalam usaha mengekang wabak Covid-19 di negeri itu.

Baginda turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kes selain penularan varian Afrika Selatan B:1:351 yang berpunca daripada aktiviti rentas negeri.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan, berkata baginda sangat dukacita melihat ramai rakyat Kelantan masih mengambil ringan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menyeru agar rakyat mengambil serius perkara itu.

“Unit Rawatan Rapi (ICU) hampir memenuhi kapasiti dan turut menjejaskan pesakit ICU yang sedia ada sehingga terpaksa ditempatkan di wad biasa.

“Jumlah pesakit meningkat memaksa kerajaan negeri membuka hospital lapangan di Padang Perdana dan ini menunjukkan situasi kritikal di Kelantan.

“Baginda menyarankan semua peniaga supaya mengutamakan pengurusan perniagaan melalui atas talian,” katanya dalam kenyataan media.

Sehubungan itu Nik Mohd Shafriman berkata, Sultan Muhammad V berharap rakyat bekerjasama dalam melindungi ahli keluarga dan orang sekeliling serta berempati dengan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang banyak berkorban sejak awal pandemik demi mengekang penularan Covid-19, terutama menjelang Aidilfitiri minggu hadapan.

“Sultan Kelantan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kakitangan KKM yang tidak mengenal penat lelah berkhidmat untuk segenap lapisan masyarakat.

“Sempena minggu terakhir Ramadan, baginda mengajak semua rakyat untuk sama-sama berdoa ke hadrat Allah S.W.T supaya penularan Covid-19 dapat dibendung dan tindakan kolektif diambil rakyat dapat melandaikan lengkuk jangkitan,” titahnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat