Malaysia Bukan Hanya untuk Orang Melayu & Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Nazri Aziz, memuji rakyat Sabah dan Sarawak kerana menzahirkan semangat sebenar Malaysia yang berbilang kaum. Beliau turut menggesa orang Melayu di Semenanjung untuk mencontohi perpaduan yang diamalkan di kedua-dua negeri itu.

Dalam satu wawancara bersama Free Malaysia Today (FMT), Nazri menekankan bahawa Malaysia bukan hanya untuk orang Melayu dan Islam, sebaliknya merupakan sebuah negara yang merangkumi pelbagai kaum dan agama.

“Negara ini bukan hanya untuk orang Melayu dan Islam. Ia berbilang kaum dan agama. Kita tidak boleh cakap seolah-olah Malaysia hanya mewakili orang Melayu dan Islam,” katanya.

Menurut Nazri, rakyat Sabah dan Sarawak lebih memahami konsep Malaysia yang sebenar dengan mentadbir negeri mereka tanpa mengira perbezaan latar belakang.

“Di Sabah dan Sarawak, mereka mentadbir negeri sebagai rakyat Malaysia. Mereka warga Malaysia tanpa mengira latar belakang dan boleh hidup bersama. Kita patut contohi mereka,” ujar bekas Menteri Umno itu.

Sebaliknya, beliau berpendapat bahawa ramai orang Melayu di Semenanjung masih cenderung mengutamakan kaum berbanding identiti kebangsaan. Mereka sering menggunakan identiti sebagai rakyat Malaysia hanya apabila ia memberi kelebihan politik, terutama semasa pilihan raya bagi mendapatkan sokongan bukan Melayu.

“Orang sedemikian ‘rakyat Malaysia yang tidak bersungguh-sungguh’,” katanya.

Nazri turut memberi contoh legenda sukan negara seperti Nicol David dan Lee Chong Wei, yang berjuang untuk Malaysia di pentas antarabangsa tanpa mengira kaum mereka.

“Saya tidak bersetuju negara ini negara Melayu. Nicol David dan Lee Chong Wei tidak bersaing di peringkat antarabangsa sebagai Cina atau India. Mereka bermain untuk Malaysia,” tegasnya.

Dalam wawancara sama, Nazri turut mengkritik penceramah kontroversi dari India, Zakir Naik, yang kini menetap di Malaysia.

“Dia ada masalah di India dan datang ke sini. Dia ingin ajar kita bagaimana menjadi Muslim dan bagaimana kita harus berinteraksi dengan orang bukan Islam.

“Tak perlu ajar saya. Saya lahir di sini. Hakikatnya kita berbilang kaum dan agama sejak dulu lagi,” katanya, sambil menegaskan bahawa beliau sentiasa bergaul baik dengan masyarakat bukan Islam.

Nazri sebelum ini dikenali sebagai seorang tokoh politik yang lantang bersuara mengenai isu-isu perpaduan dan hubungan antara kaum di Malaysia.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat