Hentikan Segera Penghinaan Agama dan Sensitiviti Kaum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menegaskan bahawa tindakan segelintir individu yang menyebarkan kenyataan provokatif, menghina agama, dan mempermainkan sensitiviti isu 3R (Race, Religion & Royalty) di media sosial adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Beliau memberi amaran keras terhadap individu seperti Vijayan Savarinathan, Zamri Vinoth, Saravanan Sanmugom, dan pengguna TikTok bernama Crime_Man, serta lain-lain yang terlibat dalam penyebaran kandungan berbentuk kebencian ini.

“Setiap individu bertanggungjawab memastikan ruang maya digunakan dengan bijak dan tidak menimbulkan perpecahan atau ketegangan dalam masyarakat. Tindakan menghina agama dan sensitiviti kaum adalah ancaman kepada keamanan negara,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara akan terus memperkukuh Kempen Cakap Baik-Baik serta menerapkan prinsip Faham, Hormat, dan Terima bagi mendidik rakyat agar lebih menghormati agama dan budaya penganut lain.

Aaron turut menyeru semua pihak agar menghentikan sebarang tindakan provokatif yang boleh merosakkan keharmonian negara. Beliau juga menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk segera mengambil tindakan terhadap individu yang menyebarkan kandungan tidak bertanggungjawab ini.

Bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara, tindakan tegas akan diambil di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 298, 504, dan 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bersama-sama, marilah kita berganding bahu untuk mengekalkan perpaduan negara berlandaskan prinsip Rukun Negara, terutamanya Kesopanan dan Kesusilaan,” tambah beliau.

Pihak berkuasa dijangka akan menjalankan siasatan lanjut dan memastikan mereka yang bersalah dikenakan tindakan sewajarnya.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat