Bedah siasat belum selesai, polis akan tukar status kematian mengejut jika ada unsur jenayah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Polis akan mengklasifikasikan semula kematian pegawai Tribunal Rayuan Kastam Kementerian Kewangan semalam, jika terdapat bukti atau keterangan baharu menunjukkan wujud perlakuan jenayah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, buat masa ini, proses bedah siasat ke atas mayat mangsa sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

“Bedah siasat masih belum selesai.

“Kes masih dalam siasatan (yang diklasifikasikan) SDR (kematian mengejut).

“Sekiranya ada keterangan yang menunjukkan ada perlakuan jenayah, kes akan diklasifikasikan semula,” lapor BH pada Khamis.

Media semalam melaporkan, seorang pegawai Tribunal Rayuan Kastam di Kementerian Kewangan, ditemui mati dalam Pejabat Perbendaharaan, kementerian itu di Putrajaya.

Berdasarkan maklumat awal, mayat lelaki berusia 45 tahun itu yang bertugas di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ditempatkan sebagai pegawai tribunal kastam, dijumpai dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan leher dan kaki terjerut ‘cable tie’.

Rusdi dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan telefon berhubung kejadian itu pada jam 10.56 pagi, semalam.

Katanya, kematian pegawai itu buat masa ini diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR) kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian.

Rusdi berkata, berdasarkan hasil siasatan awal polis, setakat ini, mangsa dipercayai menjerut leher dan kakinya sendiri.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung pada proses bedah siasat yang akan dijalankan, esok (hari ini),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tetapi paparan itu menunjukkan pergerakan si mati ke pejabatnya dan bukan perbuatan ketika insiden kematian.

Katanya, mayat dihantar ke Jabatan Forensik dan Patalogi, Hospital Putrajaya, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, berdasarkan maklumat sumber, pegawai lelaki berkenaan direkodkan memasuki pejabatnya pada jam 9 malam Isnin lalu berdasarkan akses masuk yang dikesan di lokasi, namun tiada sebarang rekod keluar dicatatkan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat