Tak ada mana-mana Ketua Umno Bahagian tuntut parti keluar Kerajaan Perpaduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Umno tidak menerima aduan mahupun laporan daripada ketua bahagian yang menuntut parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya tidak menerima aduan atau laporan secara bertulis, WhatsApp atau secara terbuka berkait perkara itu.

“Tak ada satu pun yang saya terima secara bertulis, WhatsApp atau secara terbuka. Jadi tidak timbul isu itu.

“Dalam perjumpaan itu, saya yang mempengerusikan pertemuan dengan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Presiden bercakap dan tidak ada seorang pun yang mempertikaikan atau menuntut untuk kita keluar sebab pelik juga nak keluar (dari Kerajaan Perpaduan).

“Ini bukan kuasa mana-mana parti. Ini kuasa Yang di-Pertuan Agong, nak marah siapa? Sebab UMNO adalah parti yang mempertahankan institusi raja Melayu,” katanya selepas Majlis Sesi Sembang Santai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama media di sebuah restoran di ibu negara, pada Selasa.

Sebelum ini dilaporkan, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 memutuskan hukuman terhadap Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Umno adalah sebuah parti yang mempertahankan institusi raja Melayu dan juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya mewujudkan Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

“Takkan tiba-tiba dalam hal ini kita mengkhianatinya pula atau kita mempertikaikannya,” katanya lapor Harian Metro.

Bagaimanapun, pada masa sama, beliau mengakui ada sesetengah pihak dalam Umno yang tidak berpuas hati dengan keputusan Najib tidak mendapat pengampunan penuh.

“Mestilah ada (yang tak puas hati), sebab itu kita adakan pertemuan… kita sebutkan ini kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan itu tidak menghentikan usaha kita.

“Kerana ruang itu masih ada seperti yang Perdana Menteri sebut sendiri, kalau masih tak puas hati, kita masih ada ruang untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baharu,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat