KUALA LUMPUR – Umno tegas tidak akan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang buat masa ini.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Umno tidak mahu dipatuk ular sama bagi kali kedua di tempat sama.
Timbalan Perdana Menteri itu juga memberitahu, Umno tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ khususnya dalam hubungan politik.
“Umno tidak mahu dikhianati oleh pihak yang sama dan tidak mahu episod itu berulang kembali.
“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memutamadkannya lagi.
“Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya ketika diminta mengulas mengenai desakan supaya Umno dan Pas menghidupkan semula kerjasama di bawah payung Muafakat Nasional (MN), lapor Utusan.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mahu supaya Umno menghidupkan semula MN susulan perkembangan politik mutakhir di Perlis ketika ini.
Saranan Dr Akmal itu disambut baik Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, yang menyifatkan jalinan semula itu sebagai kunci kepada kekuatan serta kebangkitan semula perpaduan ummah.
Zahid juga menjelaskan, perkara berkenaan antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik Umno malam tadi.
Sementara itu, Zahid memaklumkan, Umno menerusi Barisan Nasional (BN) akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
“Kita akan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat penggal iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya.



