KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengaskan Umno tidak akan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang sekali gus kekal bersama Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal adalah mewakili suara parti.
“Kenyataan Presiden Umno merupakan hasil perbincangan tuntas dan menyeluruh yang disuarakan oleh semua kepimpinan tertinggi parti dalam Biro Politik termasuk Pengerusi-Pengerusi Perhubungan Umno negeri demi rakyat dan negara,” kata Asyraf.
Zahid sebelum itu menegaskan, Umno tidak akan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang buat masa ini.
Kata Timbalan Perdana Menteri itu lagi, Umno tidak mahu dipatuk ular sama bagi kali kedua di tempat sama.
Timbalan Perdana Menteri itu juga memberitahu, Umno tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ khususnya dalam hubungan politik.
Sementara itu, Zahid memaklumkan, Umno menerusi Barisan Nasional (BN) akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
“Kita akan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat penggal iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya.



