PM Jepun Fumio Kishida Umum Barisan Kabinet Baharu

- Advertisement -

TOKYO: Perdana Menteri Jepun yang baharu, Fumio Kishida mengumumkan senarai barisan kabinetnya pada Isnin.

Beliau yang juga pemimpin Parti Demokratik Liberal (LDP) Jepun membentuk kabinet yang kebanyakan muka-muka baharu dari pentadbiran sebelumnya.

Menurut Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Hirokazu Matsuno, Kishida melantik 13 muka baharu ke jawatan menteri, termasuk Menteri Ekonomi dan Dasar Fiskal, Daishiro Yamagiwa dan Takayuki Kobayashi, yang akan mengambil jawatan baru untuk keamanan ekonomi dengan tanggungjawab merangka strategi nasional.

Menteri luar dan Menteri Pertahanan masih kekal disandang oleh Toshimitsu Motegi dan Nobuo Kishi demi meneruskan hubungan bilateral erat antara negara matahari terbit itu bersama Amerika Syarikat.

Terdapat tiga wanita dalam Kabinet baharu itu iaitu Menteri Vaksinasi, Noriko Horiuchi; Menteri Reformasi Pentadbiran, Karen Makishima; dan Seiko Noda, menteri yang bertanggungjawab terhadap kesetaraan gender dan mewujudkan agensi baharu untuk dasar kanak-kanak.

Menganggotai Dewan Rakyat untuk sembilan penggal berturut-turut dan merupakan Menteri Luar yang paling lama berkhidmat di Jepun.

Beliau dilantik bagi jawatan nombor satu itu selepas mengalahkan tiga lagi calon dalam ‘perlumbaan’ empat penjuru Parti Liberal Demokratik (LDP).

Menteri Kewangan: Shunichi Suzuki, 68

Sebagai Naib Presiden LDP, beliau dilihat sebagai orang paling kanan kepada Fumio Kishida dan memberi kelebihan kepada Suzuki dalam Kabinet baharu.

Beliau dilantik bagi menjawat jawatan Menteri Kewangan menggantikan adik iparnya, Taro Aso. Beliau juga mempunyai ‘kekuatan’ menjadi ahli Parlimen untuk tempoh sembilan penggal.

Sebelum ini beliau menggalas tanggungjawab senagai Menteri Alam Sekitar dan Menteri Olimpik.

Tiada perubahan portfolio dan kekal menjawat jawatan sebagai Menteri Luar sejak 11 September 2019.

Mempunyai kelebihan sebagai ahli Dewan Rakyat bagi tujuh penggal dan bekas Menteri Pendidikan , Matsuno dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kabinet yang baharu.

Kishida mendapat kepercayaan Takayuki Kobayashi. Beliau merupakan anggota Parlimen relatif rendah yang telah dipilih tiga kali, dengan jawatan sebagai Menteri Keselamatan Ekonomi dalam pembentukan Kabinet baharu.

Ini sejajar dengan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap pendedahan ke atas risiko rantaian bekalan dan kecurian harta intelek di tengah-tengah persaingan Amerika Syarikat (AS)-China.

Kobayashi adalah lulusan Harvard dan bekas birokrat Kementerian Kewangan, yang berpengalaman bekerja di kedutaan Jepun di AS.

Bekas Menteri Pendidikan, Hagiuda kini diberi kepercayaan beralih portfolio sebagai Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri menggantikan Hiroshi Kajiyama yang dilantik sebagai pemangku Setiausaha LDP.

Menteri Revitalisasi Ekonomi: Daishiro Yamagiwa, 53

Dr Yamagiwa, merupakan seorang doktor veterinar yang berkhidmat sebagai ahli Parlimen untuk lima penggal, buat pertama kalinya dilantik sebagai Menteri Revitalisasi Ekonomi menggantikan Yasutoshi Nishimura.

Menteri yang Bertanggungjawab Terhadap Kesetaraan Gender: Seiko Noda, 61

Noda terkenal dengan tindakannya untuk membendung krisis demografi Jepun.

Karier politiknya mula menonjol apabila beliau menjadi antara ‘orang kuat’ yang memperjuangkan untuk pembentukan dasar kanak-kanak di negara itu.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi: Yasushi Kaneko, 60

Yasushi Kaneko yang sekutu politik, Kishida buat pertama kalinya menganggotai Kabinet baharu menggantikan Ryota Takeda.

Menteri Kesihatan, Buruh dan Kesejahteraan: Shigeyuki Goto, 65

Merupakan bekas birokrat Kementerian Kewangan yang dilantik menganggotai Kabinet buat pertama kali menggantikan Norihisa Tamura.

Goto adalah bekas graduan Universiti Brown.

Menteri Vaksinasi Covid-19; Menteri Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020: Noriko Horiuchi, 55

Horiuchi, seorang penggubal undang-undang bagi tiga penggal, pertama kalinya dilantik menganggotai Kabinet bagi memegang dua portfolio.

Beliau menggantikan Kono yang sebelum ini mengendalikan tugas pelaksanaan strategi vaksin serta Tamayo Marukawa yang mengendalikan sukan Olimpik sebelum ini.

Menteri Reformasi Pentadbiran: Karen Makishima, 44

Makishima bukan sahaja memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) malah merupakan menteri termuda dalam Kabinet Kishida.

Menteri Alam Sekitar: Tsuyoshi Yamaguchi, 67

Menariknya, Dr Yamaguchi yang pertama kali dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar mempunyai kelebihan untuk berkomunikasi dan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan fasih.

Beliau menamatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Johns Hopkins serta berpengalaman bekerja di Kementerian Luar dan Pertahanan.

Menteri Kehakiman: Yoshihisa Furukawa, 56

Furukawa adalah antara barisan anggota Kabinet yang pertama kali dilantik sebagai Menteri Kehakiman.

Beliau sebelum ini bertugas di Biro Pembinaan sebelum menceburi bidang politik.

Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi: Shinsuke Suematsu, 65

Suematsu yang merupakan ahli Dewan Negara dipilih bagi mengisi portfolio Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi menggantikan Hagiuda yang bertukar portfolio sebagai Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.

Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan: Genjiro Kaneko, 77

Genjiro Kaneko juga salah seorang daripada anggota Dewan Negara yang dilantik pertama kali sebagai Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan.

Pengalaman luas dalam sektor perikanan menjadi kelebihan kepada beliau untuk menjawat jawatan itu.

Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan: Tetsuo Saito, 69

Dr Saito merupakan seorang lagi anggota dalam Kabinet baharu yang memegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan di Institut Teknologi Tokyo.

Selain itu beliau juga berpengalaman menjadi penyelidik pelawat di Universiti Princeton.

Menteri Pembangunan Semula: Kosaburo Nishime, 67

Nishime, seorang ahli Dewan Rakyat bagi lima penggal. Namun demikian baharu pertama kali beliau dilantik bagi menjawat jawatan menteri bagi menggantikan Katsuei Hirasawa.

Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan Awam Negara: Satoshi Ninoyu, 77

Ninoyu yang pertama kali dilantik sebagai menteri dipilih bagi menerajui Suruhanjaya Keselamatan Awam Nasional bagi mengawasi pasukan pihak berkuasa.

Menteri yang bertanggungjawab pada Ekspo Dunia Osaka 2025: Kenji Wakamiya, 60

Anak kelahiran Tokyo, Wakamiya kini diberi tanggungjawab untuk melakukan tugas-tugas persiapan bagi Ekspo Dunia Osaka 2025.

Beliau menggantikan Shinji Inoue.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat