46 kes kemalangan direkodkan sepanjang RXZ Members berlangsung, 11 kemalangan maut

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sebanyak 46 kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal telah direkodkan sepanjang tempoh empat hari program RXZ Members berlangsung, bermula 30 Julai hingga 2 Ogos lalu.

Pengarah JSPT, CP Datuk Seri Muhammed Hasbullah bin Ali, dalam satu kenyataan media semalam memaklumkan bahawa daripada jumlah keseluruhan insiden tersebut, sebanyak 11 kes atau 23.91 peratus merupakan kemalangan maut, manakala lima kes dikategorikan sebagai kemalangan parah dan baki 30 kes lagi merupakan kemalangan ringan.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan pecahan statistik harian yang dikeluarkan, insiden bermula dengan empat kes pada hari pertama, diikuti lonjakan mendadak sebanyak 16 kes pada hari kedua, manakala 11 kes dicatatkan pada hari ketiga dan berakhir dengan 15 kes pada hari terakhir program.

“Kemuncak kes kemalangan dikesan berlaku pada 31 Julai 2026 yang merekodkan angka tertinggi dalam tempoh berkenaan.

“Dari sudut pecahan jantina pula, golongan lelaki mendominasi statistik penglibatan dengan jumlah seramai 44 orang, berbanding hanya dua orang mangsa yang melibatkan penunggang wanita,” katanya.

Beliau berkata pihak JSPT turut membentangkan analisis profil umur yang menunjukkan penglibatan tertinggi datang daripada golongan muda berumur antara 21 hingga 30 TAHUN, iaitu seramai 19 orang.

“Ini diikuti rapat oleh kumpulan umur 18 hingga 20 tahun sebanyak 10 orang, kumpulan umur 41 hingga 50 tahun sebanyak sembilan orang, serta kumpulan umur 31 hingga 40 tahun seramai lapan orang,” jelas beliau.

Datuk Seri Muhammed Hasbullah menjelaskan jika dilihat secara menyeluruh, sebanyak 63.04 peratus daripada penunggang yang terlibat dalam kemalangan ini didapati berada dalam lingkungan umur 18 hingga 30 tahun, dengan mangsa berumur 20 tahun mencatatkan penglibatan individu paling tinggi iaitu seramai tujuh orang.

Dalam pada itu, analisis cara kemalangan memperlihatkan bahawa insiden langgar belakang merekodkan kes tertinggi dengan 21 kes, disusuli kejadian terbabas sendiri sebanyak 15 kes, kes langgar sebelah tepi sebanyak tujuh kes, dan kes bergesel sebanyak tiga kes, katanya.

Menurut beliau, memandangkan impak kemalangan yang serius, pihak berkuasa mengesahkan kesemua 11 kes maut kini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala lima kes parah disiasat mengikut Seksyen 43(1) akta yang sama, sementara kes-kes ringan pula dikendalikan mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas berkaitan.

“JSPT memandang serius trend kemalangan ini dan menggariskan beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kejadian, termasuklah kecuaian sendiri, kegagalan mengawal kenderaan, mengekori kenderaan lain terlalu rapat, serta amalan menunggang secara tidak selamat,” tegasnya.

Sehubungan itu, semua penunggang motosikal dinasihatkan agar sentiasa mematuhi had laju, menjaga jarak selamat, mengelakkan pergerakan berkumpulan yang tidak terkawal, dan tidak melakukan aksi berbahaya di jalan raya, menurut kenyataan itu lagi.

Beliau menyeru kepada penganjur program bermotosikal pada masa hadapan disaran menyediakan pelan pergerakan teratur serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko risiko kemalangan demi keselamatan bersama.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat