KUALA LUMPUR, – Biro Pelancongan MCA mengecam keras siri gangguan perkhidmatan Aerotren di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sudah lima kali mengalami kerosakan sejak kembali beroperasi pada 1 Julai lalu, selepas ditutup selama lebih dua tahun.
Pengerusinya, Lawrence Chiew Kai Heng menyifatkan insiden terbaru pada 4 Ogos yang didakwa berpunca daripada “isu teknikal” sebagai satu alasan memalukan dan tidak boleh diterima, apatah lagi selepas pelancaran semula sistem Aerotren itu dipromosikan secara besar-besaran oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“KLIA ialah wajah pertama negara. Jika sistem di sini gagal berfungsi dengan baik, ia bukan hanya menjejaskan pengalaman pelancong, tetapi juga mencemar reputasi Malaysia di mata dunia,” tegas Lawrence dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, sistem pengangkutan lapangan terbang sepatutnya menjadi contoh kecekapan dan kebolehpercayaan, bukan bahan lawak antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
KLIA merekodkan 30.1 juta penumpang dalam separuh pertama tahun ini, dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mensasarkan jumlah mencecah 62 juta menjelang akhir tahun. Namun, Lawrence memberi amaran bahawa sasaran ini boleh tergugat sekiranya kelemahan teknikal seperti ini terus berlaku tanpa tindakan tegas dan berkesan.
“Setiap kali sistem gagal, ia merosakkan imej negara dan menggagalkan usaha keras Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang bertungkus-lumus mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama menjelang 2026,” tambahnya.
Beliau turut menggesa Kementerian Pengangkutan, MAHB dan semua agensi berkaitan agar segera melakukan semakan menyeluruh terhadap sistem Aerotren serta menerapkan amalan terbaik seperti yang digunakan di Singapura dan Hong Kong – dua negara yang terkenal dengan lapangan terbang bertaraf dunia.
MCA menegaskan bahawa pelancongan kekal sebagai penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sektor perkhidmatan Malaysia, justeru sebarang kelemahan sistemik mesti ditangani secara menyeluruh sebelum ianya menjejaskan matlamat nasional.- SuaraTV



