Festival Aroma Kita: Gerakan haruman tempatan dari Pulau Pinang ke persada Nasional

Dalam suasana industri tempatan yang kian bergelora dengan semangat keusahawanan dan kreativiti, satu inisiatif luar biasa telah muncul untuk mengetengahkan keunikan dunia minyak wangi buatan Malaysia. Festival Aroma Kita, sebuah festival bergerak pertama yang berfokus sepenuhnya kepada jenama-jenama wangian tempatan, bakal mencatat sejarah sebagai penanda aras baharu dalam landskap gaya hidup negara. Diterajui oleh pelakon, usahawan dan pengasas kepada pusat jenama tempatan House of Amar, iaitu Amar Asyraf Zailuddin, festival ini lahir sebagai satu usaha menyatukan pencinta haruman, pengusaha muda dan komuniti pengguna yang selama ini mencari platform untuk meraikan keindahan aroma buatan anak bangsa.

Inspirasi untuk festival ini tercetus daripada pemerhatian Amar terhadap ketiadaan acara khusus yang benar-benar mengangkat industri minyak wangi tempatan ke arus perdana. Beliau membandingkan situasi ini dengan negara jiran seperti Indonesia yang mempunyai lebih 50 festival wangian setiap tahun, sementara Malaysia masih kekal dengan hanya segelintir acara yang memberi ruang kepada jenama tempatan untuk menonjol. Menyedari potensi besar yang belum digarap sepenuhnya, beliau mengambil inisiatif untuk mewujudkan Festival Aroma Kita sebagai platform inklusif bagi menonjolkan bakat dan produk tempatan yang berkualiti tinggi, unik dan lebih mampu milik berbanding jenama luar negara.

Edisi sulung festival ini akan berlangsung pada 30 dan 31 Ogos 2025 bertempat di Debob Event Space, Perda, Pulau Pinang, dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Lokasi ini dipilih sebagai titik permulaan simbolik kepada kebangkitan aroma tempatan dari utara tanah air, dan dari sana menyebar ke seluruh negara. Festival ini bakal menampilkan 14 jenama wangian Malaysia yang semakin menyerlah, termasuk jenama-jenama seperti HOA, FAKE, SORAE, SCENTIC, SEPHORIA SCENT, MEG FRAGRANCE, BEAUBOSS, NABIA PARFUM, SUGARBOMB, SZINDORE, KEEF&NISH dan MEDIN FRAGRANCE Namun antara yang paling mencuri perhatian ialah dua jenama  yang sedang mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran TRÉS PERFUME dan LANCIA HQ.

Lebih daripada sekadar bazar atau pameran, Festival Aroma Kita dirancang sebagai sebuah pengalaman penuh deria. Para pengunjung akan disambut dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk cabutan bertuah harian, hadiah percuma untuk 100 pengunjung terawal, sesi permainan mingguan seperti bingo, dan pertemuan eksklusif bersama pengasas jenama-jenama terlibat. Ia menjadi peluang keemasan untuk pengguna bukan sahaja mencuba haruman secara langsung, tetapi juga memahami cerita di sebalik setiap botol dari siapa yang menciptanya, dari mana ilhamnya datang, dan bagaimana ia membawa keunikan tersendiri dalam setiap semburan.

Salah satu jenama yang turut serta dalam festival ini ialah TRÉS Perfume, jenama yang mula mendapat tempat dalam hati pengguna sejak ditubuhkan pada November 2023. Dihasilkan oleh pengasas muda berjiwa seni, Mazwan Safwan, atau lebih dikenali sebagai Wan, TRÉS tampil bukan sekadar sebagai jenama komersial, tetapi sebagai manifestasi budaya dan ekspresi diri. Nama “TRÉS” yang diambil dari bahasa Perancis bermaksud “sangat” mencerminkan komitmen jenama ini untuk menghasilkan haruman yang sangat wangi, sangat peribadi dan sangat menyentuh hati. Di TRÉS, penciptaan bauan dianggap seumpama melukis  setiap nota bau adalah sapuan warna, setiap lapisan aroma membawa cerita dan emosi.

Setiap haruman dirangka seperti karya, ibarat pelukis yang mencipta potret berdasarkan inspirasi daripada kehidupan seharian. Seorang gadis ayu, bunyi hujan di desa,  sebuah cafe di lorong atau sekuntum bunga liar di tepi jalan, semuanya semuanya berpotensi menjadi punca kelahiran baru.

Haruman seperti Nilam dan Dusk Flower menjadi antara produk paling laris mereka. Nilam mempersembahkan nota earthy yang penuh keaslian, memberikan rasa tenang dan misteri, manakala Dusk Flower membawa nuansa floral lembut yang romantik, membangkitkan nostalgia senja tropika. Uniknya, TRÉS turut menawarkan perkhidmatan mereka-perfume khas berdasarkan personaliti pelanggan, menjadikan pengalaman memiliki perfume sebagai satu bentuk ekspresi peribadi yang mendalam.

Lebih mengagumkan, walaupun beroperasi sepenuhnya secara digital melalui Shopee dan TikTok, TRÉS berjaya menjual ribuan unit setiap bulan dan kini turut menembusi pasaran luar seperti Singapura dan Brunei. Mereka juga merupakan vendor tetap di House of Amar, satu langkah awal untuk membina kehadiran fizikal yang lebih kukuh. TRÉS juga menitikberatkan aspek keselamatan semua produk mereka menjalani penilaian bahan yang ketat dan hanya menggunakan bahan mesra kulit serta bebas toksik, sekaligus menepati piawaian industri wangian moden.

Satu lagi jenama yang menyerlah dalam festival ini ialah Lancia HQ, yang ditubuhkan pada Julai 2024 dengan pendekatan yang amat berbeza namun sangat berkesan. Lancia HQ tidak hanya mencipta wangian, tetapi mencipta memori. Falsafah mereka berakar pada emosi haruman yang membangkitkan kenangan, mencetus rasa selesa, dan memberi ketenangan. Dalam masa kurang setahun, dua produk mereka Bedak Baby dan Milk Adores telah menjadi fenomena dalam kalangan pengguna tempatan, khususnya di media sosial.

Bedak Baby adalah interpretasi semula terhadap bau klasik bedak bayi yang sinonim dengan kelembutan, kasih sayang dan nostalgia zaman kecil. Ramai pengguna menyatakan bahawa haruman ini memberi mereka rasa selamat, seolah-olah dipeluk oleh memori lama yang menyenangkan. Menariknya, perfume ini juga sesuai untuk digunakan oleh kanak-kanak kerana bahan-bahannya yang berasaskan tumbuhan dan diuji selamat untuk kulit sensitif.

Milk Adores pula membawa bauan floral susu yang lembut, bersih dan tidak mencolok sesuai untuk wanita moden yang menginginkan haruman anggun dan tidak terlalu mendominasi. Kedua-dua wangian ini menjadi asas kepada reputasi Lancia HQ sebagai pengeluar wangian yang memahami naluri pelanggan, bukan sekadar cita rasa. Jenama ini juga menolak trend menghasilkan dupe jenama antarabangsa, sebaliknya memberi tumpuan kepada mencipta identiti wangian tempatan yang asli dan berjiwa.

Kejayaan Lancia HQ dipacu oleh strategi digital yang pintar, terutamanya melalui TikTok yang bukan sahaja digunakan sebagai platform jualan, tetapi juga ruang berinteraksi secara langsung dengan pelanggan. Mereka sedang memperluaskan portfolio mereka melalui koleksi baharu Tea Series, yang diinspirasikan daripada aroma teh eksotik seperti Chinese Tea dan Japanese Tea satu lagi bukti bahawa jenama ini sentiasa mencari cara baharu untuk menyerlahkan keunikan aroma Malaysia dalam bentuk yang moden dan sofistikated.

Melihat ke hadapan, Lancia HQ merancang untuk menjadi pusat sehenti produk penjagaan diri dalam tempoh lima tahun akan datang, termasuk losyen, body mist, shower gel dan lain-lain. Mereka juga merancang untuk melebarkan sayap ke pasaran serantau seperti Brunei, Indonesia dan Singapura, berdasarkan permintaan semula jadi yang sudah mula terbentuk.

Festival Aroma Kita menjadi pentas yang tepat bagi TRÉS dan Lancia HQ bukan sekadar untuk menjual produk, tetapi untuk mengembangkan naratif mereka. Ia adalah medan pertemuan antara pengusaha dan pengguna, tempat berlakunya pertukaran cerita, cita rasa dan semangat nasionalisme dalam bentuk yang wangi dan penuh gaya. Ia juga memperlihatkan bahawa dunia wangian Malaysia sudah tiba masanya untuk berdiri megah bukan hanya sebagai alternatif kepada jenama luar, tetapi sebagai jenama pilihan utama rakyat Malaysia dan dunia.

Dalam dunia yang sering diwarnai dengan bauan yang diseragamkan dan dipasarkan secara besar-besaran, Festival Aroma Kita datang sebagai penyegar. Ia membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk menghidu semula siapa diri mereka  melalui haruman yang lahir daripada tanah ini, budaya ini, dan semangat anak tempatan yang tidak pernah luntur.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Amar Asyraf Zailuddin, “Ini bukan sekadar tentang jual perfume. Ini tentang membina semula identiti melalui aroma. Tentang siapa kita, apa yang kita hargai, dan bagaimana kita ingin dikenang.”

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat