CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa langkah kerajaan menurunkan kadar defisit negara dilakukan secara berfasa bagi memastikan perbelanjaan penting seperti pendidikan, bantuan tunai dan kesihatan tidak terjejas.
Menurut beliau, pengurangan defisit yang terlalu drastik boleh membawa risiko terhadap keupayaan kerajaan menyalurkan dana tambahan kepada sektor keutamaan rakyat.
“Kita turunkan defisit secara berperingkat – dari 5.5% pada 2022 kepada 5.0% pada 2023, dan dijangka 4.1% tahun ini,” kata Anwar ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa pengurusan fiskal berhemat ini membantu mengawal jumlah hutang negara. Angka hutang baharu menunjukkan trend menurun sejak 2021, dengan RM100 bilion pada tahun itu, RM99 bilion (2022), RM92.6 bilion (2023), dan RM76.8 bilion pada 2024.
Di sebalik penurunan defisit, kerajaan tetap memperuntukkan jumlah besar untuk program kesejahteraan rakyat. Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA mencatat peruntukan RM15 bilion, manakala Kementerian Pendidikan dan Kesihatan masing-masing menerima RM64 bilion dan RM45 bilion.
“Ini adalah sebahagian daripada pendekatan fiskal yang bertanggungjawab, dan pelabur – baik tempatan mahupun asing – kini menunjukkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.



