KUALA LUMPUR, – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi tahu Dewan Rakyat bahawa siasatan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai dakwaan penerimaan dana tidak diisytihar oleh parti dan Perdana Menteri lebih menjurus kepada isu pengauditan dan pentadbiran dalaman parti itu.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas) yang meminta penjelasan berhubung perkembangan siasatan terhadap laporan polis di Kuala Kedah pada 22 Mei lalu, susulan video tular membabitkan individu dikenali sebagai Lai Chen Heng.
Kandungan video tular yang memaparkan individu dipercayai Ketua Cabang PKR Wangsa Maju, Lai Chen Heng, antara lain membuat beberapa dakwaan serius termasuk kononnya terdapat dana diterima untuk kegunaan parti yang tidak diaudit dan tidak dimasukkan ke dalam akaun rasmi kerana dikhuatiri dikesan sistem perbankan.
Saifuddin berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan semakan dan siasatan awal yang dijalankan oleh pihak polis.
“Kandungan laporan tersebut lebih menjurus kepada isu pengauditan dalaman dan permasalahan pentadbiran dalam organisasi parti,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen semalam.
Isu berkenaan mencetuskan gesaan daripada beberapa pihak termasuk wakil rakyat pembangkang agar PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan terbabit.
Sementara itu, Lai Chen Heng sebelum ini menafikan dakwaan dalam video tersebut, menyifatkannya sebagai suntingan berniat jahat yang berlegar menjelang pemilihan parti. Beliau turut menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
PKR dilaporkan telah memulakan siasatan dalaman dan menimbang tindakan tatatertib terhadap Lai, namun sebarang keputusan rasmi ditangguhkan sehingga selesai Kongres Nasional parti itu pada Mei lalu.



