Buktikan dakwaan atau bubar Parlimen, Mahathir kecam Anwar sebagai penipu mengkagumkan

KUALA LUMPUR, – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini melemparkan kecaman keras terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan menuduh beliau sebagai “penipu yang mengkagum” susulan dakwaan berhubung kekayaan anak-anak beliau yang dikatakan mencecah RM4 bilion.

Dalam satu kenyataan tegas bertajuk The Amazing Liar, bekas Perdana Menteri dua kali itu menolak sekeras-kerasnya dakwaan Anwar semasa di Jakarta bahawa Mahathir dan anak-anaknya sendiri kononnya mengaku memiliki kekayaan besar yang tidak dapat dijelaskan sumbernya.

“Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang kesepuluh, adalah seorang penipu luar biasa.

Dia berkata di Jakarta bahawa saya atau anak saya sendiri mengaku memiliki RM1.2 bilion dan seorang lagi RM4 bilion. Ini tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah mengaku, malah saya telah menjelaskan dari mana datangnya kekayaan saya,” kata Mahathir dalam kenyataan tersebut.

Mahathir turut mempersoalkan dari mana Anwar memperoleh angka-angka tersebut, sedangkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sebelum ini mengesahkan bahawa kedua-dua anak beliau Mokhzani dan Mirzan telah membuat pengisytiharan aset secara sah kepada SPRM.

Menurut kenyataan rasmi Azam Baki, Mokhzani mengisytiharkan aset bernilai sekitar RM1 bilion, manakala Mirzan mengisytiharkan RM246.2 juta.

SPRM menyatakan bahawa pihaknya “berpuas hati” dengan pengisytiharan tersebut.

“SPRM tidak menyatakan bahawa sumber kekayaan itu tidak jelas atau tidak sah. Kalau pengisytiharan itu tidak sah, sudah tentu SPRM tidak akan menyatakan mereka berpuas hati,” tegas Mahathir.

Mahathir turut membidas cubaan Anwar untuk menggambarkan seolah-olah kekayaan anak-anak beliau tidak wajar, sedangkan kekayaan tersebut diperoleh daripada penglibatan dalam dunia perniagaan selama lebih dua dekad, termasuk dalam sektor minyak dan gas, teknologi dan hartanah. Nilai kekayaan itu pula melibatkan aset seperti saham, hartanah dan pelaburan bukannya wang tunai.

“Apakah Anwar kini menuntut agar kami menjual semua harta dan menyerahkan hasilnya kepada kerajaan? Atas dasar apa? Ini bukan wang yang dicuri atau diperoleh melalui salah guna kuasa,” tambah Mahathir.

Dalam kenyataan sama, Mahathir menegaskan bahawa demonstrasi pada 26 Julai lalu bukanlah perhimpunan untuk mempertahankan beliau atau anak-anaknya.

Sebaliknya, ia mencerminkan ketidakpuasan rakyat terhadap pentadbiran Anwar yang menurutnya telah menyebabkan penderitaan kepada rakyat.

“Mereka turun ke jalan kerana mereka tidak mahu Anwar sebagai Perdana Menteri. Kalau Anwar yakin dia masih diterima rakyat, bubarkanlah Parlimen dan adakan Pilihan Raya Umum. Ia bukan Ahli Parlimen yang tunjuk perasaan, tetapi rakyat biasa,” kata Mahathir sambil mencabar keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri yang sebenar.

Beliau turut menyifatkan Anwar sebagai gagal menunaikan janji-janji reformasi dan lebih banyak berselindung di sebalik permainan politik serta retorik peribadi yang tidak berasas.

Kenyataan Mahathir ini adalah antara siri terbaru dalam pertembungan politik panjang antara dua tokoh besar ini yang pernah menjadi rakan seperjuangan dan kemudian seteru politik sejak era Reformasi 1998.

Walaupun kedua-duanya pernah bekerjasama semula dalam Pilihan Raya Umum ke-14 bagi menumbangkan Barisan Nasional pada 2018, hubungan mereka kembali tegang apabila Mahathir tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Pakatan Harapan.

Kini, dengan situasi politik negara yang semakin panas dan tekanan terhadap pentadbiran Anwar kian meningkat termasuk dalam isu kos sara hidup, integriti tadbir urus, serta hubungan kerajaan dengan institusi-institusi awam kenyataan Mahathir dijangka memberi impak besar terhadap persepsi rakyat menjelang kemungkinan pilihan raya akan datang.- SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat