Tiga Rakyat Malaysia Di Sudan Selamat Tiba Di Jeddah – Dr Zambry

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Seramai tiga rakyat Malaysia yang terkandas di Sudan sudah pun selamat tiba di Pangkalan Laut Raja Faisal, Jeddah, Arab Saudi pada 12.50 tengah malam tadi.

Berita gembira tersebut disahkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menjelaskan bahawa kejayaan itu hasil usaha kerjasama melibatkan pelbagai pihak.

“Ini termasuk Pasukan Khas Operasi Sudan Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Sudan dan Arab Saudi serta pihak Kerajaan Arab Saudi,” katanya menerusi kenyataan.

Kelmarin, beliau memaklumkan bahawa ada tiga warga Malaysia yang tidak pernah pun berdaftar dengan pihak kedutaan di ibu kota Khartoum itu masih lagi terkandas di Sudan.

Maklumat mengenai kes itu hanya diketahui pihak Wisma Putra setelah menerima laporan melalui aplikasi sosial Facebook Messenger Kedutaan Besar Malaysia pada 30 April lalu.

Sebelum itu, seramai 30 rakyat Malaysia berjaya keluar dari negara yang teruk bergolak tersebut dengan tiba di Jeddah menaiki kapal tentera laut Arab Saudi pada 26 April lepas.

Mereka kemudian selamat pulang ke tanah air pada 28 April lalu dan ketika ini hanya ada dua warga Malaysia berada di negara Afrika itu yang tidak terjejas dengan senario konflik.

Dua pegawai Angkatan Tentera Malaysia itu berkhidmat dengan pasukan misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu dan urusan mereka dikendalikan terus badan dunia tersebut.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, tiga rakyat Malaysia itu yang merupakan seorang wanita dan dua anaknya menaiki kapal HMS Amanah milik Tentera Laut Diraja Arab Saudi.

“Ketibaan mereka itu disambut sendiri oleh pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan kemudian dibawa ke tempat penginapan disediakan kerajaan Arab Saudi,” jelasnya.

Ketiga-tiga mereka ujar beliau, dijangka tiba di tanah air pada 5 pagi Ahad ini menerusi pesawat Saudia penerbangan SV842 yang diuruskan Wisma Putra dan Konsulat Jeneral.

Bagi pihak kerajaan Malaysia pula, beliau mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi kerana sekali lagi membantu warga Malaysia.

Beliau turut merakamkan kesyukuran kerana kerajaan negara itu menyediakan fasiliti sepanjang berada di Jeddah selain kepada semua yang terlibat dalam misi operasi tersebut.

Zambry pada masa sama juga meminta jika masih ada sesiapa yang mengetahui saudara atau rakan terkandas di Sudan, agar segera berhubung dengan pihak Wisma Putra. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat