100 Tahun FORTRAIN bina legasi latihan perhutanan

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN) yang ditadbir urus oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah menyambut ulang tahun ke-100, sekali gus menandakan satu abad peranannya dalam melahirkan tenaga mahir bagi sektor perhutanan negara.

Majlis Sambutan 100 Tahun dan
Perasmian Bangunan Asrama FORTRAIN telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup di Dewan Alwy, Bahagian Latihan Perhutanan, Kepong dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha NRES, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin; Ketua Pengarah JPSM, Dato’ Hj. Zahari Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Perancangan) JPSM, Dato’ Hj. Roslan Rani; dan Pengarah Bahagian (Latihan Perhutanan) JPSM, Dato’ Norhaidi Yunus.

JPSM dalam kenyataan berkata sambutan ini sebagai pengiktirafan kepada legasi dan dedikasi JPSM dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan profesional dalam sektor Perhutanan melalui latihan teknikal serta praktikal.

“FORTRAIN memfokuskan kepada pembangunan modal insan, pemindahan teknologi perhutanan, dan penerapan pengurusan hutan mampan selaras dengan keperluan industri.

Menyingkap sejarah penubuhannya, institusi ini ditubuhkan pada 1926 sebagai Sekolah Perhutanan Kepong (SPK) oleh tokoh perhutanan, D.H. Hodgson yang pada awalnya hanya melatih 12 pelatih sebelum berkembang menjadi pusat latihan utama perhutanan di Malaysia, ”kata kenyataan itu.

“Sejak dijenamakan semula sebagai FORTRAIN pada 2010, institusi ini terus memperkukuh program latihannya agar selari dengan keperluan semasa, termasuk penekanan terhadap penggunaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), Sistem Maklumat Geografi (GIS), penderiaan jauh dan dron.

“Sehingga kini, seramai 6,369 pelatih telah dilahirkan dan berkhidmat dalam pelbagai sektor berkaitan perhutanan, alam sekitar, landskap, tapak semaian, ekopelancongan dan pengurusan sumber asli di seluruh negara, ”katanya.

Bersempena sambutan itu, Arthur turut merasmikan kemudahan asrama baharu bernilai RM20.8 juta berkapasiti 98 buah bilik yang mampu menempatkan sehingga 196 pelatih dalam persekitaran lebih kondusif.

“Sebagai simbolik sambutan 100 tahun FORTRAIN, Arthur turut menanam pokok spesies Daun Sang (Johannesteijsmannia altifrons), iaitu sejenis pokok palma hutan yang endemik, jarang ditemui dan unik di rantau Malaya-Borneo, ”tambahnya.

Tambahnya lagi, majlis ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) beserta JPSM dalam melahirkan modal insan berkemahiran, berintegriti dan berdaya saing bagi memastikan pengurusan hutan negara yang lestari dan mampan. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat