Sharifah Rose tak ‘kayu’ lagi…

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Liku perjalanan gadis cantik bernama Sharifah Rose, 23, tidak seindah namanya dalam menyusuri onak duri anak seni. Kehadiran pemengaruh media sosial itu disambut dingin peminat drama tempatan pada awal kemunculannya.

Dilabel kayu dan hanya mempertaruhkan wajah cantik oleh warga netizen sedikit sebanyak pastinya mengguris hati Sharifah Rose atau mesra disapa Rose.

Namun, gadis kacukan Melayu, Arab dan Jawa itu enggan terlalu rapuh. Ada kalanya, lontaran cemuhan cukup meninggalkan kesan dalam dirinya.

Justeru, Rose atau nama sebenarnya, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira memilih tidak membaca kecaman dilemparkan netizen demi menjaga kesihatan mental.

Seusai episod lakonan kayu dalam drama Kekasih Hati Mr Bodyguard melabuhkan tirai, gadis kelahiran Shah Alam, Selangor itu sekali lagi diserang bertubi-tubi berikutan jenama tudungnya.

Kononnya, Rose menciplak nama jenama hijab yang sudah terlebih dahulu wujud. Bukan sahaja ejaan sedikit berbeza, malah, logo digunakan syarikatnya juga didakwa hampir sama dengan jenama asal.

Sudah tampil memohon maaf dalam laman sosial, Rose mengakui, dia tidak berniat melukakan hati mana-mana pihak. Malah, tidak mungkin meneruskan bisnes berkenaan seandainya benar tuduhan dilempar.

“Saya juga manusia biasa, ada masanya terguris juga hati apabila netizen seakan-akan sengaja mahu mencari kesalahan saya. Namun, saya cuba untuk tidak melayan kecaman demi menjaga kesihatan mental.

“Saya pernah mengalami kemurungan, jadi serik untuk berada dalam situasi ini. Cuma, saya kasihan ibu.

“Ini kerana ibu adalah insan paling sedih setiap kali saya dihimpit kontroversi. Namun, saya belajar terima setiap kecaman secara positif.

“Kecaman juga membuatkan saya banyak belajar dan makin bersemangat memperbaiki kekurangan diri,” katanya kepada BH Online.

Ketepikan soal kontroversi yang menghambat diri, gadis yang kini digosipkan menjalin hubungan cinta dengan hero gandingan dalam drama Kekasih Hati Mr Bodyguard, Redza Rosli kembali fokus kepada kerjaya lakonannya. Tidak keterlaluan jika dikatakan, Rose memiliki potensi cerah dalam bidang lakonan.

Selepas drama Kekasih Hati Mr Bodyguard melabuh tirai, anak sulung daripada dua beradik itu kembali menerusi drama 3 Nota Cinta yang mengisi slot Akasia di TV3.

Dalam masa yang sama, program realiti, Master In The House Malaysia turut bersiaran di TV3 menyebabkan wajah Rose kelihatan ‘back to back’ di stesen TV3.

 

Sharifah Rose sudah berjaya membuang rasa kekok di lokasi penggambaran selepas banyak menimba pengalaman. - Foto IG Sharifah Rose
Sharifah Rose sudah berjaya membuang rasa kekok di lokasi penggambaran selepas banyak menimba pengalaman. – Foto IG Sharifah Rose

 

Maka mula timbulnya andaian adakah Rose kini ‘anak emas’ kepada stesen konglamerat itu?

Namun, tanggapan itu ditepis baik gadis genit itu. Barangkali, ia hanya kebetulan dan mungkin juga rezeki terpijak.

“Sejujurnya, saya tidak pernah merancang untuk membabitkan diri dalam industri lakonan. Namun, tentunya saya tidak melepaskan peluang keemasan.

“Lagipun, niat saya mahu menerokai sesuatu yang baharu. Bagaimanapun, siapa sangka, tawaran datang silih berganti.

“Saya niatkan dalam hati mahu belajar dan cuba memperbaiki mutu lakonan setiap kali menerima tawaran. Jauh di sudut hati, saya memang seronok dan tidak menyangka masih dipanggil berlakon,” katanya.

Diperkenalkan menerusi drama Cerita Hantu Asrama pada 2019, Rose sedar, pengalamannya juga masih terlalu hijau dalam dunia lakonan

“Sebab itulah, saya tidak kisah membiarkan ada yang mengecam saya kayu dan sebagainya.

“Saya memerlukan teguran dan kritikan. Apabila adanya teguran, ia memberikan saya semangat untuk belajar dan menyelami karakter lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Berkongsi pengalaman berlakon dalam drama 3 Nota, Rose berkata, dia berjaya mengutip pengalaman baharu apabila membawakan watak isteri kepada pelakon Ashraf Muslim.

Katanya, bukan mudah buatnya membawakan babak yang memerlukannya bermain emosi dan kemarahan sebagai isteri.

“Namun, saya bersyukur pengarah dan Ashraf banyak membantu ketika penggambaran.

“Malah, saya kini sudah membuang rasa kekok di lokasi penggambaran, sebaliknya semakin dapat menyesuaikan diri sebagai pelakon,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat