PM akan turun ke negeri-negeri minggu depan bincang agenda noktahkan kemiskinan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun ke negeri-negeri bermula minggu depan untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani dan mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama pimpinan utama kerajaan negeri serta agensi.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah, Anwar telah menetapkan bahawa agenda menoktahkan kemiskinan tegar kekal sebagai keutamaan tertinggi Perdana Menteri dalam perbincangan bersama pimpinan kerajaan negeri dan agensi.

“Sejak agenda ini diumumkan dalam Belanjawan 2023, beliau telah menggerakkan semua Setiausaha Politik ke negeri-negeri bagi memastikan gerak kerja serta bantuan disalurkan secara
tersusun kepada kumpulan miskin tegar.

“Usaha ini merangkumi peningkatan pendapatan golongan sasar, menyediakan peluang pekerjaan, akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan, dan perumahan, serta memperbaiki taraf hidup dan kesejahteraan isi rumah miskin.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri memaklumkan bahawa sehingga 31 Disember tahun lalu, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis berjaya mencapai sifar miskin tegar, dan Insya-Allah kejayaan ini akan diperluas ke negeri-negeri lain,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Rabu.

Dalam pada itu Tunku Nashrul Abaidah memberitahu, petang ini, Malaysia bakal melakar sejarah dalam industri teknologi global apabila Perdana Menteri akan meluncurkan satu kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat yang berpengkalan di United Kingdom, yang bakal mengubah landskap kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor negara.

Ujarnya, pemeteraian kerjasama dengan syarikat pereka seni bina cip terbesar di dunia ini adalah hasil inisiatif Kerajaan Madani melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan, dan Kementerian Ekonomi.

“Perdana Menteri melihat kerjasama ini sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem teknologi negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena teknologi global.

“Dengan termetrainya perjanjian kerjasama ini, Malaysia mendahului negara lain sebagai rakan ekosistem teknologi pertama bagi syarikat ini, menjadikannya hab utama di ASEAN.

“Malaysia juga menjadi negara pertama di rantau ini di mana syarikat tersebut akan membuka pejabatnya.

“Kerjasama ini membolehkan syarikat Malaysia memanfaatkan teknologi dan kepakaran termaju dalam bidang semikonduktor serta melatih tenaga mahir tempatan. Ini akan mempercepatkan pertumbuhan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memperkukuh daya saing industri teknologi negara.

“Peluncuran dan pemeteraian kerjasama strategik ini juga menjadi bukti kepercayaan pelabur-pelabur dunia terhadap dasar Kerajaan Madani dan terus melaksanakan kerjasama bernilai tinggi dengan Malaysia,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat