KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menyokong tindakan yang dikenakan terhadap tiga penyampai radio yang mempermainkan isu sensitif bagi penganut Hindu.
Tegas beliau, undang-undang terpakai untuk semua bukan terpilih mengikut sokongan orang berpengaruh.
“Saya menyokong apabila 3 DJ (penyampai radio) yang mempermainkan isu sensitif bagi penganut Hindu dikenakan tindakan.
“Seperti kenyataan saya sebelum ini mengenai isu pak cik jagung yang mana kita tidak boleh menerima norma buat dahulu baru minta maaf dan selesai. Satu tindakan hukuman perlu diberikan kepada mereka ini dan tiada siapa pun yang boleh terkecuali dalam tindakan ini tidak kira agama,bangsa dan negara.
“Saya juga nak tanya pada pihak berkuasa,jika 3 DJ ini telah disiasat dan dikenakan hukuman oleh majikan mereka,apa perkembangan bagi kes Cecillia Yap dan Harith Iskander yang memperlekehkan nama Nabi Muhammad dan agama Islam? soal Akmal.
Sebelum itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kertas siasatan dibuka selepas polis menerima enam laporan di seluruh negara.
Polis membuka kertas siasatan terhadap kakitangan stesen radio Era termasuk tiga penyampai kerana disyaki mempersenda tarian kavadi Hindu dalam satu rakaman video.
Berkait isu hina Islam pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjelaskan, pihaknya masih dalam proses menjalankan siasatan berhubung kes hantaran di akaun Facebook pelawak dan pelakon Harith Iskander yang didakwa menghina agama Islam.
MCMC dalam penjelasan ringkas turut mengesahkan menerima aduan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya tindakan sekatan akaun dan menurunkan kandungan dilakukan.
Bagaimanapun, sehingga kini, tindakan seperti diminta JAKIM belum dilaksanakan.
“Pihak MCMC menerima aduan daripada pihak JAKIM berkaitan hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam di platform media sosial Facebook oleh pemilik akaun Harith Iskander.
“Buat masa ini, kes tersebut masih dalam proses siasatan,” kata agensi itu secara ringkas kepada BH.
Akhbar itu meminta penjelasan MCMC mengapa akaun dan kandungan jelik dimuat naik selebriti terbabit belum diturunkan walaupun ada aduan dibuat.
Januari lalu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya sudah membuat laporan polis dan akan memanggil selebriti terbabit berhubung hantaran di akaun Facebooknya mengenai isu ‘ham’ yang didakwa menghina agama Islam.
Sirajuddin berkata, JAKIM tidak sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan mempersendakan ajaran Islam dan menyinggung sensitiviti umat Islam.
Harith, 59, didakwa memuat naik hantaran itu semasa kontroversi sandwic ‘ham and cheese’ yang dikatakan diragui status halalnya.
Hantaran berkenaan didakwa membuka ruang mempersendakan Islam apabila seorang pengguna media sosial meninggalkan komen pada hantaran itu yang dipercayai mengaitkan ‘ham’ dengan nama Nabi Muhammad SAW.