KUALA LUMPUR – Penduduk beragama Islam yang menghuni Pangsapuri Pandanmas 2 di Kampung Pandan mendakwa tidak dibenarkan menggunakan surau yang disediakan di blok bangunan itu.
Difahamkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) mengunci surau berkenaan dan didakwa telah melupuskan sejadah dan perkakasan yang sudah tersedia di dalamnya.
Pengerusi Sementara Surau Al-Husna Blok F Pangsapuri Pandanmas 2 Hoslan Hussin, 59, memberitahu, memandangkan penghuni Muslim di blok berkenaan adalah minoriti justeru mereka tidak mampu menuntut bagi mengguna pakai surau berkenaan.
“Penghuni Blok F Pangsapuri Pandanmas 2 ini merupakan penduduk Kampung Pandan Indian Settlement Kuala Lumpur yang dipindahkan, jadi majoritinya terdiri daripada kaum India.
“Sebelum ini surau itu telah diguna dan diimarahkan dengan kehadiran ustaz jemputan dari India, namun selepas kepulangan ustaz berkenaan JMB bertindak mengunci surau berkenaan sekali gus menghalang penduduk Islam sekitar 80 orang di Blok F berkenaan untuk menggunakan surau berkenaan.
“Selaku pengerusi sementara surau berkenaan, saya telah meminta kunci surau dari pihak JMB namun tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan yang juga berketurunan India Muslim. Bahkan ketika mesyuarat agung tahunan JMB Blok F Pandanmas 2 yang berlangsung 1 Mac baru-baru ini saya tidak dibenarkan mendaftar dan dihalau daripada menghadiri mesyuarat berkenaan meskipun mendapat jemputan. Pintu bilik mesyuarat ditutup, saya hanya dibenarkan mendengar dari luar.
“Perbuatan biadab ini berlaku di hadapan jiran-jiran saya yang berbangsa Melayu dan India. Kemudian dua anggota polis dari IPK Kuala Lumpur datang menenangkan ketegangan,” katanya kepada SuaraTV.
Hoslan yang juga penceramah bebas memberitahu konflik ini tercetus hanya kerana dia meminta kunci surau bagi kegiatan ibadah penghuni Islam di situ memandangkan ketibaan bulan Ramadan namun, tidak dibenarkan.
“Alasan yang diberikan JMB ketika tidak membenarkan surau itu digunakan ialah surau itu kini telah ditukar menjadi stor, sejadah semua sudah dilupuskan.
“Saya enggan bertindak keras kerana bimbang akan tercetus perbalahan kaum terkait isu 3R, jadi saya hanya buat laporan polis berkenaan insiden ini.
“Paling rasa terhina apabila ada salah seorang penghuni Blok F ini meninggal dunia tahun lepas namun tidak dapat diuruskan di sini, keluarganya terpaksa membawa jenazah ke luar kawasan kerana surau dikunci,” ujarnya.
Hoslan memberitahu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah membenarkan penggunaan surau berkenaan dengan syarat tidak membenarkan ceramah dan kemasukan orang luar dan perkara itu telah dipersetujui JMB namun sebaliknya pula yang berlaku.
“Pegawai Jawi yang datang untuk tentukan koordinat Kiblat juga dihalang masuk ke surau berkenaan,” dakwa Hoslan.