Permintaan kukuh India, China dan EU dorong pasaran minyak sawit kekal stabil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pasaran minyak sawit diunjur kekal positif pada 2024, didorong oleh permintaan kukuh daripada destinasi eksport utama seperti India, China dan Kesatuan Eropah (EU).

Ketika berkongsi perkara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata India menyumbang sebanyak 17.4 peratus daripada permintaan itu manakala China (9.1 peratus) dan EU pada 7.4 peratus.

Permintaan itu turut dipacu oleh minat bagi penambahan stok simpanan dalam usaha memastikan keterjaminan makanan serta ketampakan aktiviti perniagaan secara menyeluruh.

“Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengunjurkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) akan mencecah 18.75 juta tan pada 2024 daripada 18.55 juta tan pada 2023.

“Peningkatan pengeluaran yang kecil iaitu kira-kira satu peratus berbanding 2023 akan dipacu oleh keadaan persekitaran tenaga kerja yang lebih baik dan jumlah pokok sawit yang matang,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan dan Pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC2024) kali ke-35 di sini, hari ini.

Johari juga mengingatkan dalam usaha merealisasikan unjuran bagi 2024, semua pihak perlu bertindak dan menangani cabaran utama industri seperti persepsi negatif terhadap minyak sawit, kerugian besar daripada ketidakcekapan pekebun kecil, kesan perubahan iklim dan isu-isu tenaga kerja.

Di sebalik cabaran sedia ada, katanya, industri minyak sawit turut mengetengahkan banyak peluang, termasuk potensi Malaysia sebagai penanda aras bagi standard komoditi itu di peringkat dunia.

Bagi kemajuan masa depan, industri itu serta lebih daripada 447,000 pekebun kecil bebas dan terancang perlu memberi tumpuan kepada aspek penghasilan buah tandan segar dan MSM secara lestari.

“Usaha libat urus secara pelbagai pihak adalah penting kerana menjadi satu-satunya cara untuk menangani tuduhan tidak berasas dan persepsi negatif terhadap minyak sawit.

“Komuniti Malaysia yang merangkumi peladang, pihak pemproses, penyelidik dan peniaga perlu bersatu untuk menangani persepsi negatif terhadap industri kita,” katanya.

Dalam pada itu, Johari turut mengumumkan penjenamaan semula Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) kepada Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi meleraikan kekeliruan sedia ada antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan MPOCC.

Pada 2023, pasaran minyak sawit memaparkan daya tahan di sebalik ketidaktentuan ekonomi global dan industri itu kekal menjadi bahagian penting dalam ekonomi Malaysia dengan menyumbang kira-kira tiga peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas.

Walaupun harga MSM mencatat penurunan ketara, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskannya mencatat lebih RM100 bilion yang didorong oleh pertambahan jumlah dagangan.

Malah, prestasi keseluruhan pasaran turut disumbangkan oleh permintaan kukuh daripada penggunaan utama serta keadaan pengeluaran yang bertambah baik. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat