KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk berkongsi dokumen dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan dijalankan mengenai pemberian projek bernilai RM4 juta yang dikatakan dikaitkan dengan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bagaimanapun menjelaskan, masih terlalu awal untuk mengatakan pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengenai perkara ini.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif hari ini dan dan beliau bersetuju untuk berkongsi dokumen berkaitan isu ini dengan kami.
“Bagaimanapun, biar penyiasat saya menganalisis dokumen terbabit untuk melihat sama ada terdapat sebarang kesalahan yang memerlukan kami membuka kertas siasatan,” lapor BH pada Rabu.
Pada 1 Februari SPRM dilapor akan campur tangan segera dan menyiasat sekiranya DBKL mengenal pasti sebarang salah laku dalam siasatan dalaman yang sedang dijalankan mengenai pemberian projek RM4 juta itu.
Azam dipetik berkata tindakan akan diambil jika sebarang salah laku ditemui sepanjang siasatan dalaman dilakaukan DBKL.
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, berkata siasatan perolehan projek DBKL sedang dijalankan pihak audit dalaman DBKL tanpa memberi memberi tempoh untuk siasatan itu disiapkan.
Beliau berkata, siasatan itu akan membabitkan semua pihak termasuk memanggil Datuk Afdlin Shauki yang dikatakan mempunyai kaitan dengan perolehan projek itu untuk memberi keterangan.
Maimunah, yang mengesahkan siasatan itu berkata beliau sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Dalam pada itu, Azam menjelaskan, pihaknya tidak mahu bertindak terburu-buru dalam isu berkenaan kerana ia membabitkan dakwaan yang dibuat melalui media sosial.
“Kami akan melakukan analisis menyeluruh terhadap dokumen yang diberikan kepada kami untuk mengesahkan dakwaan ini terlebih dahulu.
“DBKL akan menjalankan siasatan mereka mengenai isu ini, sementara penyiasat saya meneliti dokumen-dokumen tersebut,” katanya.