KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarah menjalankan siasatan dalaman segera susulan dakwaan kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di dalam kem tentera yang tular di media sosial.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius dakwaan terbabit.
“Sehubungan itu, ATM telah diarah untuk menjalankan siasatan dalaman segera bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.
“MINDEF menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
“Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa,” menurut kenyataan pada Isnin.
MINDEF berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi MINDEF dan ATM.
“MINDEF dan ATM sentiasa komited dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara,” katanya.



